Sukan Hari Ini

TRW Kempunan Di Laman Sendiri

KOTA BHARU – Kelantan gagal dalam misi meraih kemenangan penting setelah terikat tanpa jaringan dengan Mifa dalam saingan Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.

Keputusan seri itu menyaksikan skuad kendalian Yusri Che Lah berdepan laluan sukar untuk menempah slot ke suku akhir dan hanya mengharapkan keajaiban berlaku pada perlawanan terakhir menentang Kedah, 16 September ini lapor Sinar Harian.

Tuan rumah seharusnya berada di depan ketika permainan memasuki minit ke-12 tetapi tampanan kurang cermat Cristiano Santos berpunca hantaran Mohammad Imran Samso menyaksikan bola tersasar di sebelah kiri pintu gol Mifa.

Selang lapan minit kemudian, giliran pelawat mencemaskan kubu akhir Kelantan setelah Beomgeun Bae mengutip bola hasil kesilapan Nik Akif Syahiran Nik Mat tetapi percubaannya pula gagal menepati sasaran.

Menuju minit ke-28, Santos sekali lagi mengecewakan 2,800 penyokong apabila gagal menolak masuk selepas tandukan pendek Baktyiar Buishobekov berpunca sepakan penjuru Nik Akif Syahiran mencetuskan situasi kelam-kabut di depan gawang Mifa.

Pelawat yang beraksi tanpa dua tenaga import, Kpah Sherman dan L’Imam Seydi hampir mengejutkan tuan tumah dua minit selepas itu tetapi percubaan K Satish tepat ke arah penjaga gol, Mohd Faridzuean Kamaruddin.

Minit-minit akhir babak pertama, Kelantan terlepas untuk mengatasi pelawat sebelum menuju ke bilik persalinan apabila rembatan leret Nik Azli Nik Alias ketika hanya berdepan penjaga gawang Mifa, Mohd Muhaimin Mohamad sekadar melintasi pintu gol.

Bersambung babak seterusnya The Red Warriors menampilkan penguasaan mutlak dengan melancarkan serangan bertali arus namun dikecewakan dengan kekebalan benteng pertahanan pelawat.

Peluang terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-61 namun Nik Azli yang memperdayakan dua pertahanan lawan di dalam kotak penalti gagal merembat tepat disusuli percubaan Nik Akif Syahiran terkena palang, seminit kemudian.

Menyedari masa semakin suntuk, kem Kelantan memasukkan Mohd Danial Ashraf Abdullah pada minit ke-74 tetapi anak buah K Devan terus kental bertahan mengekang asakan jentera serangan tuan rumah.

Sebaliknya dua minit selepas itu, Mifa memperoleh peluang untuk memecahkan kebuntuan dengan K Satish menghukum kesilapan mudah Nik Akif Syahiran tetapi percubaan kencangnya ditepis keluar Mohamad Faridzuean sekali gus terselamat pintu gol Kelantan daripada dibolosi.

Menuju lewat permainan, tuan rumah terus rancak menyerang tetapi jaringan yang dinantikan tidak kunjung tiba setelah percubaan jarak dekat pemain gantian, Fakhrulzaman Wan Abdullah Zawawi digagalkan penjaga gawang pelawat, pada minit ke-87.

Tambahan masa tiga minit tidak memberi apa-apa makna buat Kelantan sebaliknya terpaksa akur dengan keputusan seri selepas pengadil, Razlan Joffri Ali meniupkan wisel penamat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");