Perak Hari Ini

Usaha Jadikan Tanjung Malim Bandar Automotif Ada Perkembangan Positif

IPOH:Usaha bagi melihat Tanjung Malim sebagai bandar automotif akan diteruskan menerusi perkembangan positif yang diperolehi serta kehadiran pemain utama industri ke kawasan itu.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata pihaknya sedang mencari tarikh sesuai untuk majlis menandatangani perjanjian dengan pemain utama industri komponen automotif di Ningbo, wilayah Zhejiang, China dalam masa terdekat.

“Mereka sedang menunggu tarikh yang saya tentukan untuk mereka hadir menandatangi perjanjian akan diumumkan secara rasmi kepada semua berkemungkinan dalam bulan hadapan,” katanya kepada media selepas menghadiri sesi dialog bersama pelajar dan belia yang turut disertai Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Katanya, pemain industri utama di China telah berhajat untuk membuka kilang pembuatan alat kenderaan di salah satu tapak yang bersesuaian di Tanjung Malim.

“Jumlah pelaburan sebenar masih belum dapat saya beritahu lagi tetapi sebenarnya banyak perancangan termasuk rancangan terdahulu untuk menjadikan Tanjung Malim sebagai bandaraya automotif sebagai realiti akan diteruskan kerana ia menunjukkan perkembangan yang baik menerusi kehadiran pelabur China yang berhajat untuk melabur di kawasan itu,” katanya.

Sementara itu pada sesi wawancara bertajuk Masa Depan Malaysia Baru Syed Saddiq berkongsi pandangan mengenai pemberian biasiswa yang sepatutnya diperhalusi pemberian dengan mengambil kira pelbagai kriteria termasuk kedudukan universiti itu.

“Kerajaan tidak melihat isu biasiswa sebagai beban tetapi sebagai satu pelaburan kerajaan untuk masa depan negara tetapi mesti menilai semua perkara dan kemana pelajar itu akan dihantar.

“Bidang apa juga perlu kita bersiap sedia terutama industri 4.0 jika universiti itu tersenarai antara 10 universiti terbaik kerajaan akan cuba sebaik mungkin untuk dapatkan biasiswa kerana memberi pulangan besar tetapi sebaliknya jika berada di nombor 90 atau 100 saya tidak setuju kerana kos hidup jauh lebih tinggi sekitar RM4,000 namun universiti awam jauh lebih baik daripada universiti luar negara.

“Fokus universiti terbaik akan diberi keutamaan kita perlu melabur sebaik mungkin tetapi kita perlu laburkan idea di universiti tempatan juga,” katanya.

Beliau turut berjanji dalam tempoh masa lima tahun akan datang suara anak muda akan diambil kira dengan harapan mereka tidak perlu lagi bergantung kepada mana-mana pihak kerana kuasa berada di tangan mereka kelak.

“Suara mereka tidak dikecualikn dari politik negara dan saya akan menjadi salah seorang pembawa suara mereka dibantu kepimpinan anak muda diluar sana supaya anak muda lebih berdikari dan tak perlu bergantung kepada mana-mana pihak kerana kuasa ditangan mereka,” katanya pada akhir sesi rumusan wawancara yang berlangsung sekitar 1 jam 30 minit di kediaman menteri besar pada Jumaat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");