Jenayah

15 Pegawai Belia Dan Sukan Ditahan SPRM

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan 15 pegawai belia dan sukan bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu, semalam.

Memetik laporan BH Online, tangkapan itu susulan tangkapan yang dibuat pada 1 Oktober lalu dan hasil siasatan mendapati kesemua suspek bersubahat dengan kontraktor dengan membuat tuntutan palsu berkaitan kerja penganjuran Program Liga Sukan untuk semua daerah.

Menurut kenyataan SPRM, penganjuran program berkenaan dibuat di Ledang, Mersing, Muar, Batu Pahat, Kulai, Pontian, Kluang dan Kota Tinggi sepanjang 2015 sedangkan program berkenaan tidak dilaksanakan.

Katanya, jumlah keseluruhan tuntutan palsu yang dibuat melebihi RM90,000.

“Kesemua suspek yang ditahan, dalam lingkungan 30-an hingga 50-an, adalah Pegawai Belia dan Sukan di Pejabat Belia dan Sukan Daerah di negeri ini.

“Semua suspek ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira jam 12 tengah hari, termasuk lelaki dan wanita. Mereka ditahan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009, jika bersabit kesalahan boleh didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000, bergantung kepada mana lebih tinggi dan penjara sehingga 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan berkata, kesemua suspek akan dihadapkan ke mahkamah esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");