Berita Hari Ini

5 Menteri Bergelar Datuk Seri

AYER KEROH: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun mendahului senarai 419 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena sambutan Hari Jadi Ke-80 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, hari ini.

Majlis penganugerahan yang berlangsung di Dewan Seri Negeri di sini diadakan dalam dua sesi iaitu pada hari ini membabitkan 161 penerima, manakala 258 penerima lagi pada 10 November depan.

Rina antara 14 penerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri, selain Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Mohd Khalil turut menyampaikan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira kepada sembilan penerima, antaranya Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Omar Jaafar; Timbalan Menteri di JPM, Datuk Wira Dr Md Farid Md Rafik; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Wira Mohd Hatta Md Ramli; dan Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Raja Shahrom Raja Abdullah.

Selain itu, Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk diberi kepada 18 penerima antaranya EXCO Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen; EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Tey Kok Kiew; EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis serta EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab.

Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk turut disampaikan kepada 44 penerima antaranya Duta Besar Malaysia ke Myanmar, Datuk Zahairi Baharim dan bekas atlet olahragawan kebangsaan, Datuk M Ramachandran.

Sementara itu, seramai 18 orang menerima Darjah Seri Melaka (DSM), 35 penerima Bintang Cemerlang Melaka (BCM), 72 penerima Bintang Khidmat Terpuji (BKT), 100 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan 87 Pingat Bakti Masyarakat (PBM) pada sesi penganugerahan itu.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");