Perak Hari Ini

Alternatif Jalan Menora: Kerajaan Negeri Terima Sebarang Cadangan Tetapi Bersyarat – MB

IPOH: Kerajaan Perak sentiasa terbuka bagi menerima sebarang pandangan bagi mengelakkan sebarang insiden buruk daripada terus berlaku di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) khususnya di jalan Terowong Menora-Kuala Kangsar.

Yang terbaharu dilaporkan, dalam nahas di Kilometer (km) 255.3 di PLUS selepas Terowong Menora pada pukul 11.47 pagi, Sabtu lepas, lima individu rentung apabila kereta yang dinaiki mereka terbakar selepas dirempuh sebuah treler.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan pihak Plus Malaysia Berhad dalam mendapat sebarang solusi dengan cara yang paling berhemah.

Jelasnya lagi, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari akan mewakili kerajaan negeri dalam perbincangan tersebut.

Namun pada masa sama, Ahmad Faizal berkata, sebarang usaha ke arah penambahbaikkan jalan mahupun laluan alternatif yang baharu harus berada dalam situasi menang-menang antara kerajaan negeri dan Plus khususnya dari sudut keuntungan kewangan.

Ujarnya, perbincangan terhadap isu itu juga bakal melibatkan usul tentang bagaimana kerajaan negeri mampu menambahkan pendapatan seperti menerusi tapak-tapak kawasan rehat dan rawat (RnR) yang berada di Perak, walaupun dengan kadar minima.

“Projek lebuh raya ini memang amat penting tetapi, menerusi projek itu, banyak yang terpaksa kita korbankan tanpa kita dapat kembali sebarang pulangan.

“Sepatutnya ia memberi keuntangan kepada semua pihak. Sekurang-kurangnya saya fikir, kawasan RnR itu jika dapat diberikan ‘title grant’, kita mampu memperoleh keuntungan.

“Selama ini, kita tidak dapat apa-apa. Malah, ada kalanya kita pun tidak dapat tentukan yang bekerja di situ adalah penduduk tempatan atau bukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi deejay jemputan Perak FM dalam segmen ‘Sepagi Bersama MB’ di bangunan Jabatan Penyiaran Malaysia Perak di sini, hari ini.

Program yang dikelolakan bersama deejay Perak FM Nasreeq Nesharah selama sejam itu tadi turut diceriakan dengan kehadiran pengarah terkenal tanah air, Mohamad Khalid atau lebih dikenali sebagai ‘Mamat Khalid’.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");