Perak Hari Ini

Arahan Larangan Merokok Di Restoran, Premis Makanan Undang Reaksi Positif Orang Ramai

IPOH: Pengumuman Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye, yang bakal mewartakan semua restoran dan premis makanan di negara ini sebagai kawasan larangan merokok mulai 1 Januari 2019 mendapat reaksi positif daripada orang ramai.

Bagi seorang kakitangan awam, Muhammad Affandi Abdul Latif, 41, beliau menyambut baik langkah tersebut kerana dilihat ianya mampu mewujudkan suasana yang lebih selesa di premis-premis makanan khususnya bagi pelanggan yang datang bersama keluarga.

“Saya sangat menyokong perkara tersebut yang mana ia mampu membebaskan tempat-tempat awam daripada pencemaran asap rokok.

“Seperti yang ada membawa anak-anak kecil, sebagai seorang bapa saya berpandangan bahawa anak-anak ini mempunyai hak untuk makan dengan selesa serta menghirup udara yang bersih daripada asap rokok.

“Semua tahu bahawa asap rokok mempunyai mudarat yang lebih besar kepada orang di sekeliling berbanding kepada perokok itu sebenarnya,” katanya kepada Perak Today, di sini, hari ini.

Sementara itu, bagi pensyarah di sebuah kolej swasta, Nurul Fatihah Muhd Jamil, 31, langkah KKM itu dirasakan mampu mewujudkan suasana yang lebih mesra orang ramai untuk yang hendak menjamu selera.

Malah dirinya mengakui ia merupakan sesuatu yang sangat dinanti-nantikannya.

Katanya lagi, bagi mereka yang menghidapi penyakit asma ataupun sesak nafas, sudah pasti pelaksanaan peraturan itu merupakan khabar gembira buat mereka.

“Ibu mengandung ataupun pesakit asma kebiasaanya sering mengalami gangguan daripada asap rokok di kawasan awam khususnya seperti di restoran.

“Walaupun ada perokok yang prihatin tentang orang di sekeliling mereka namun, kita tak nafikan terdapat golongan perokok yang berdegil. Jika lelaki mungkin boleh ditegur tetapi kerana kami ini wanita, ianya mungkin agak sukar ditegur,” ujarnya.

Selain itu, seorang pengusaha sebuah premis makanan di Bandaraya Ipoh, Ahmad Sani Mohd Saad, 51, beliau berpandangan bahawa usaha KKM itu tidak akan menjejaskan perniagaan pengusaha makanan dengan ketara sebaliknya ianya akan lebih menguntungkan semua pihak.

“Bagi peniaga seperti saya, kedai-kedai kami akan bebas daripada pencemaran puntung rokok dan para pelanggan pula akan dapat menikmati juadah dengan selesa.

“Apabila ini berlaku, pelanggan sudah pasti tidak perlu bimbang dengan asap rokok ketika sedang menjamu selera. Mereka juga tidak perlu berpindah meja atau ke kedai lain untuk mengelakkan diri daripada terhidu asap rokok,” katanya.

Sementara itu, menurut kakitangan di sebuah kilang swasta, Daniel Chee, 32, beliau merasakan tindakan tersebut memerlukan pelaksanaan yang berkesan di peringkat penguatkuasaan.

Jelasnya, sesuatu peraturan itu hanya akan berkesan sekiranya semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing.

“Selepas ia dilaksanakan, KKM mungkin boleh mengadakan operasi pemeriksaan secara berkala di semua kawasan larangan merokok seperti di restoran-restoran supaya ia mampu mendidik orang ramai untuk mematuhi peraturan tersebut.

“Orang ramai juga mungkin boleh disediakan ruang atau medium yang lebih baik seperti menerusi platform media sosial, bagi melaporkan sebarang aktiviti merokok di kawasan larangan merokok kepada pihak berkuasa,” ujarnya.

Minggu lalu, Dr Lee memaklumkan arahan larang merokok yang telah diluluskan kerajaan itu turut melibatkan restoran yang tertutup, berhawa dingin serta restoran atau warung yang berkonsep terbuka.

Malah beliau turut tidak mengalakkan sebarang cadangan berkenaan mewujudkan ruangan khas kepada perokok di semua premis makan terbabit.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");