Jenayah

Armada Johor Buat Laporan Polis Kes Fitnah MB

OHOR BAHRU: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor membuat laporan di Balai Polis Sentral di sini, hari ini, berhubung tiga akaun laman sosial Facebook (FB) yang menfitnah Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.

Timbalan Ketua ARMADA Johor, Shaiful Rizal Mohd Salleh, berkata laporan polis dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan sesuai ke atas pemilik akaun berkenaan.

“Kami percaya ia bermotifkan politik dan kesal kerana sikap ‘admin’ (pengendali) tiga akaun FB berkenaan yang dilihat menyebar fitnah dan provokasi bertujuan memburukkan Menteri Besar Johor.

“Kami dapati, laman FB seperti Ops Johor, Afiq KLtown Channel dan Johorpress.com menjadikan Osman sebagai sasaran dan pelbagai fitnah dilancarkan termasuk serangan peribadi ke atas diri dan keluarganya.

“Sebagai sayap komponen Pakatan Harapan (PH), kami menjunjung dan memperjuangkan kebebasan media untuk bersuara sejajar semangat Malaysia Baharu.

“Rakyat sepatutnya mempunyai ruang untuk berdialog dan berbincang dengan mana-mana pemimpin bertujuan mengetengahkan pendapat, bagaimanapun provokasi dan fitnah seperti ini sepatutnya ditolak sepenuhnya,” katanya pada sidang media di Pejabat Urusan BERSATU Johor di sini, hari ini.

Menurutnya, politik jahat seperti itu perlu ditolak kerana ia bertentangan dengan perlembagaan dan rukun negara, sebagai parti berteraskan bangsa Melayu, sudah pasti ia bertentangan dengan norma kemelayuan.

Katanya, dalam status yang dimuat naik Ops Johor pada 9 Oktober lalu, ‘admin’ membuat kenyataan ‘Menteri Besar Johor Pengkhianat Orang Kampung’ dan mengatakan Menteri Besar memecat ketua kampung kerana mereka bukan penyokong kerajaan PH.

“Pada 8 Oktober lalu, ‘admin’ sama memuat naik status dengan menuduh Menteri Besar Johor mengamalkan politik dendam hingga membantutkan pembangunan rohani dan jasmani negeri ini manakala pada 7 Oktober lalu, ‘admin’ sama memuat naik grafik mengatakan ‘Saya lambat sebab sibuk, isteri saya tiga orang’ dengan tambahan urusan rakyat nombor 10.

“Ia jelas satu provokasi dan fitnah terhadap Menteri Besar Johor dan kami berharap pihak berkuasa akan menyiasat kes ini secara menyeluruh serta mengambil tindakan segera,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");