Membawang Hari Ini

Bohong Kalau Kata Tak Rindu: Anne Ngasri

SIAPA sangka, di sebalik kesibukan sebagai isteri dan ibu, serta tugas lain di arena politik, Datin Anne Ngasri mengakui masih merindui dunia lakonan.

Menurut Anne atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, 34, dia tidak mungkin terus bersara dari dunia seni, apatah lagi ia sudah menjadi minatnya sejak kecil lagi.

“Sepatutnya saya ada buat kemunculan dalam filem Hero, tetapi disahkan mengandung sebelum penggambaran bermula.

“Jadi saya rasa lebih elok watak saya diberikan kepada orang lain.

“Walaupun dah lama tak berlakon, ia bukan bermakna saya sudah tinggalkan dunia lakonan.

“Bohong kalau kata tak rindu, cuma masa membataskan saya untuk kembali ke set lakonan. Cuma jika ada peluang, saya akan selit berlakon di bawah produksi Darling.

“Lebih mudah kerana boleh susun dengan jadual saya,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Hero yang di Balai Bomba Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur.

Filem terbitan NS Star Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu menampilkan barisan pelakon seperti Hisyam Hamid, Mark Adam, Bell Ngasri, Syafiq Farhain, Elisha Sandha dan Datuk Jalaluddin Hassan lapor Sinar Harian.

Filem yang mengangkat kisah mengenai anggota bomba itu dijangka akan menemui penonton pada tahun hadapan.

Sementara itu, Anne sempat berkongsi berita kehamilannya yang kini sudah memasuki usia tujuh bulan.

Menurut isteri kepada Datuk Mohd Sumali Reduan ini, dia dijangka bakal menimang cahaya mata perempuan dan teruja apabila dikurniakan rezeki yang tidak disangka itu.

“Selepas kali terakhir bersalin lima tahun lalu, saya memang tidak pernah merancang dan tak sangka apabila disahkan mengandung lagi.

“Anak-anak pun teruja apabila mendapat tahu saya hamil lagi dan saya kira ini juga masa yang sesuai untuk saya hamil dan insya ALLAH, ini yang terakhir,” ujarnya.

Tambahnya, dia tidak mengalami alahan yang teruk pada kehamilan kali ini dan hanya merasa terseksa apabila dikehendaki meminum air gula bagi tujuan pemeriksaan kencing manis ketika hamil.

“Sebelum ini saya tak pernah minum air gula dan dimaklumkan ia sudah diwajibkan ke atas ibu mengandung sejak dua tahun lalu.

“Saya juga tidak ada mengidam yang teruk-teruk, cuma suka memakan aiskrim,” katanya.

Pelakon yang pernah popular menerusi drama bersiri Cili Padi ini mendirikan rumah tangga dengan Sumali, 46, pada 22 Disember 2012.

Menerusi perkahwinan itu, Anne dan Sumali dikurniakan seorang anak lelaki Sufi Harraz yang kini berusia lima tahun.

Sebelum ini, Anne pernah mendirikan rumah tangga dengan Abdul Wafi Hassan dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Abdul Warits, 12, Abdul Wafri, 10, dan Nazharah Afrozah, 8. Manakala Sumali juga mempunyai seorang anak lelaki iaitu Mohd Sufian Hakim, 13.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");