Berita Hari Ini

Bukan Langkah Penjimatan, Tapi Belanja Cara Bijak – Lim

Malaysia tidak melaksanakan langkah penjimatan tetapi sebaliknya mengamalkan perbelanjaan secara bijak, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata kerajaan akan mengeluarkan perbelanjaan dalam bidang keutamaan, terutamanya apabila ia membawa kepada pertumbuhan jangka panjang yang mampan yang dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Katanya Malaysia tidak hanya menerapkan pengukuhan fiskal, berikutan pengukuhan yang terlalu cepat boleh menjejaskan pertumbuhan.

“Kita perlu menerapkan kepelbagaian ekonomi. Pengukuhan fiskal adalah langkah ke arah kemampanan fiskal. Bagaimanapun, kemampanan memerlukan tahap pertumbuhan ekonomi yang munasabah,” katanya dalam ucapan pada Khazanah Megatrends Forum 2018 di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam jangka masa pendek, Lim berkata Malaysia perlu mengukuhkan kedudukan fiskalnya untuk menangani lebihan perbelanjaan daripada kerajaan terdahulu yang membawa kepada RM1.09 trilion nilai hutang dan liabiliti kerajaan, atau 80.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Beliau percaya sektor korporat mempunyai peranan penting untuk membantu memastikan ekonomi berterusan dan mempunyai kapasiti berhubung lembaran imbangannya untuk melabur dan meneruskan pertumbuhan berikutan hutang korporat Malaysia, sekurang-kurangnya dalam kalangan syarikat yang tersenarai, hanya 20 peratus daripada KDNK.

Walaupun terdapat halangan di peringkat global, Lim memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan mengalami defisit berkembar, berdasarkan asas ekonomi yang kukuh dan akaun semasa, yang dijangka terus mencatat lebihan pada tahun ini.

Beliau berkata Malaysia mempunyai lebihan akaun semasa sebanyak tiga peratus daripada KDNK pada tahun lepas manakala pada separuh pertama tahun ini, baki sebanyak 2.7 peratus daripada KDNK, atau RM18.9 bilion.

Lim berkata terdapat kebimbangan mengenai lebihan akaun semasa yang lemah pada suku kedua yang hanya RM3.9 bilion dan imbangan perdagangan pada Ogos 2018 yang rendah sebanyak RM1.6 bilion.

Lebihan yang rendah ini, sebahagian besarnya, disebabkan tempoh bebas cukai selepas pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan, yang seterusnya menggalakkan import, katanya.

Bagaimanapun, katanya pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan pada bulan lepas, pertumbuhan import akan sederhana dan ini akan meningkatkan baki dalam jangka masa pendek.

Lim juga berkata bagi mengekalkan baki akaun semasa, eksport Malaysia perlu terus kompetitif dan negara mesti menyusun semula kewangan awam ke arah kemampanan fiskal jangka panjang.

Beliau berkata usaha kerajaan terhadap pengukuhan fiskal tertumpu kepada berhemat — menghapuskan lebihan perbelanjaan sebelum ini selain membina asas kukuh untuk kewangan kerajaan bagi menerapkan dasar fiskal yang bertanggungjawab dan pintar pada masa depan.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");