Membawang Hari Ini

Dana Filem RM16 Juta Lesap Sebelum Fauzi Ayob Jadi KP Finas

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Fauzi Ayob menjelaskan ketirisan dana perfileman RM16 juta berada di luar pengetahuannya kerana ia berlaku sebelum beliau menyandang jawatan itu.

Fauzi sebaliknya berkata kesemua projek pada tahun 2013 hingga 2016 diluluskan oleh pegawai kanan Finas sekali gus beliau tidak terlibat dalam sebarang keputusan dan hanya menyandang jawatan Ketua Pengarah pada 2017.

“Berkaitan dengan ketirisan dana untuk projek berjumlah RM16 juta yang diluluskan ia berada diluar bidang pengetahuan saya kerana semua projek tersebut diluluskan oleh pegawai kanan Finas sebelum saya dilantik sebagai Ketua Pengarah.

“Oleh itu, ingin saya jelaskan di sini bahawa kesemua projek yang dikaitkan dengan kegagalan itu saya tidak terlibat sama sekali memandangkan saya hanya dilantik menerajui Finas pada 2017,” katanya, sebagaimana ditulis mStar Online.

Sebelum ini, Finas menjadi perhatian apabila dana RM16 juta itu diberikan kepada beberapa buah syarikat perfileman pada 2013 hingga 2016 untuk menerbitkan tujuh buah filem dan satu filem animasi namun projek itu gagal disiapkan.

Rentetan itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil keterangan pegawai Finas bagi menyiasat hal berkenaan.

Fauzi kini ditempatkan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Putrajaya sementara jawatannya dipangku oleh Timbalan Ketua Setiausaha kementerian terbabit, Shakib Ahmad Shakir.

Timbalan Ketua Pengarah Finas, Datuk Azmir Saifudin Mutalib turut dipindahkan ke kementerian yang sama manakala jawatannya dipangku oleh Timbalan Setiausaha Bahagian Kewangan, KKMM iaitu Fairul Azida Shahabudin.

Dalam pada itu, Fauzi berkata, beliau menerima dengan hati terbuka perpindahan sementaranya dan penstrukturan semula Finas ekoran skandal itu.

Kata Fauzi, keputusan dibuat menteri KKMM, Gorbind Singh Deo adalah bagi memastikan pengurusan Finas dapat bergerak lancar demi membangunkan industri filem tempatan.

“Selaku pegawai kanan Finas saya amat mengalu-alukan keputusan dibuat menteri demi kelancaran dan ketelusan dalam apa bentuk sekalipun yang berkaitan dengan Finas.

“Saya juga berharap segala masalah ketirisan dana dan skandal kewangan dalam Finas dapat dirungkaikan segera, kerana ia bukan saja melibatkan maruah dan kepercayaan rakyat kepada badan kerajaan tetapi saya sendiri perlu membersih imej dan reputasi saya sebagai pegawai kerajaan yang diberi tanggunghjawab memegang amanah demi rakyat dan negara,” ujarnya.

Fauzi sebelum ini sudah membuat laporan polis berhubung ketirisan dana di agensi tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");