Berita Hari Ini

Gantung Permit Dua Minggu

PUTRAJAYA – Permit 28 kenderaan Syarikat Usaha Maju Trading Sdn Bhd digantung serta merta selama dua minggu susulan kejadian treler miliknya terbabit kemalangan mengakibatkan lima mangsa rentung di Kilometer 255.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Terowong Menora, Sabtu lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, notis penggantungan itu akan dikeluarkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) petang ini bagi membolehkan audit serta merta ke atas syarikat itu dilakukan.

“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah juga sudah diarahkan untuk memastikan kesemua 28 kenderaan milik syarikat ini tidak beroperasi dan berada di depoh syarikat.

“Selepas audit dijalankan, sekiranya surat tunjuk sebab dikeluarkan, lesen pengendali operasi syarikat ini boleh digantung,” katanya pada sidang media hari ini.

Selain itu Loke berkata, Kementerian juga sudah meminta Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk melakukan kajian bagi mencari alternatif supaya jajaran laluan Terowong Menora tidak digunakan kenderaan berat.

“Bagaimanapun kajian perlu dilakukan secara menyeluruh termasuk mengambil kira kesan kepada pengguna lain sekiranya jalan alternatif digunakan, termasuk jalan Persekutuan,” katanya.

Selain itu beliau berkata, JPJ juga sudah dikerahkan untuk meletak anggota penguat kuasa di laluan menuruni bukit dan sebelum Terowong Menora bagi melakukan pemeriksaan lebih ketat terhadap kenderaan berat.

“Kita mahu penguatkuasaan lebih tegas termasuk terhadap kenderaan berat yang mungkin lebih muatan, anggota akan ditempatkan sepanjang masa dalam tempoh satu hingga dua bulan ini bagi melihat keberkesanan tindakan ini,” katanya.

Mengulas mengenai kejadian pemandu lori yang memandu secara melawan arus di Kilometer 432 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran susur masuk Plaza Tol Sungai Buaya di sini semalam, Loke berkata, pihaknya akan melakukan siasatan lanjut terhadap syarikat pemilik lori terbabit lapor NSTP.

“Kejadian babitkan lori dibawah berat 7.5 tan, jadi permit kenderaan bukan dikeluarkan SPAD, namun kita akan buat pemeriksaan lanjut terhadap syarikat,” katanya

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");