Berita Hari Ini

Golongan Berusia perlu Sentiasa ‘Bergaduh’ Untuk Minda Kekal Aktif – Dr M

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, golongan berusia perlu sentiasa membaca, menulis dan ‘bergaduh’ untuk memastikan minda mereka tidak terjejas dengan proses penuaan.

Perdana Menteri berusia 93 tahun itu mengambil contoh ‘pergaduhan’ besarnya dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini, yang menjadi ‘rahsia’ mindanya kekal aktif sehingga hari ini.

Katanya, perbalahan dengan Najib memaksanya berfikir kaedah dan cara untuk menewaskan Barisan Nasional (BN), dan ia membuahkan hasil apabila kerajaan selama lebih 60 tahun itu berjaya ditumbangkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Jika kita tak gunakan akal, ia akan merosot dan kemudian keupayaan untuk bercakap, bersyarah, mengadu, itu semua akan terjejas kerana minda sudah tidak lagi berfungsi.

“Saya fikir, adalah baik untuk orang tua terus membaca, menulis dan juga bergaduh kerana itu membantu akal kita ‘bersenam’.

“Saya terbabit dalam pergaduhan besar dengan bekas Perdana Menteri. Jadi sepanjang masa, minda saya kekal aktif memikirkan cara dan kaedah untuk mengubah kerajaan.

“Jika sentiasa berfikir dan menggunakan akal, anda tidak akan kehilangan memori seperti yang berlaku pada kebanyakan orang tua,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Penuaan, Pembelajaran dan Teknologi: Menambah Nilai Kehidupan dan Hubungan Komuniti di Petrosains di sini, hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Presiden Persatuan Media Era Ketiga, Cheah Tuck Wing.

Perdana Menteri berkata, adalah penting untuk golongan berusia untuk memastikan otot dan minda mereka bekerja selepas bersara, seperti mana yang dilakukannya sehingga hari ini.

“Dua minggu selepas saya bersara (sebagai Perdana Menteri pada 2003), ada orang datang berjumpa dan beritahu mereka tidak gembira dengan pengganti saya dan mahu saya buat sesuatu.

“Jadi saya bertindak dan jadi sangat aktif, dan selepas beliau mengalah, individu kedua pula menggantikannya namun malangnya, ada lagi orang datang bertemu saya dan meminta saya buat sesuatu.

“Sekali lagi saya bertindak. Saya tubuhkan parti politik untuk mengalahkan parti saya. Ia kini sudah jadi sejarah, apabila beberapa bulan lalu kami menang dan menjadi kerajaan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, proses penuaan akan bertambah pantas tidak menggunakan tubuh badan sebaik mungkin, namun berpeluang untuk mencecah lewat usia jika kekal aktif serta tidak diserang penyakit yang tidak boleh diubati seperti kanser.

“Jika anda boleh berjoging, teruskan. Saya tidak boleh berjoging lagi. Saya akan penat. Apa yang boleh saya buat sekarang adalah bekerja dan terus bekerja,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");