Sukan Hari Ini

‘Jangan Sampai Kerajaan Perlu Bayar Lagi’

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyokong usaha Jabatan Kerja Raya (JKR) yang bersedia mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor Akademi Mokhtar Dahari (AMD) jika gagal melaksanakan kerja pembaikan ke atas kerosakan yang berlaku di pusat itu.

JKR menerusi satu kenyataan media semalam menjelaskan pihaknya mempunyai hak untuk melantik pihak ketiga bagi membaiki kecacatan terbabit sekiranya kontraktor gagal memenuhi obligasi untuk memperbaiki segala kerosakan yang dilaporkan.

Memetik laporan BH Online, Syed Saddiq menerusi akaun Twitter miliknya, hari ini pula menjelaskan langkah yang proaktif perlu dilakukan bagi memperbaiki segala kerosakan dan kecacatan di AMD.

“Terima kasih JKR. Saya akan pantau perkembangan ini. Belum sampai enam bulan, tapi sudah lebih 800 kecacatan direkodkan.

“Kita kena proaktif dalam memastikan segala kerosakan dan kecacatan diperbetulkan. Jangan sampai kerajaan perlu bayar lagi sekali untuk perbetulkan keadaan,” kata Syed Saddiq.

JKR menerusi kenyataan sama menjelaskan projek pembinaan Akademi Bolasepak Negara Fasa 2 di Gambang itu ditawarkan kepada MMN Bina Sdn Bhd secara kontrak reka dan bina pada 2 Disember 2015 dengan harga kontrak RM81,832,000 dan tempoh siap asal selama 20 bulan.

“Berikutan beberapa isu pembinaan, tempoh kontrak asal dilanjutkan selama tiga bulan namun kontraktor gagal menyiapkan projek ini dalam lanjutan ditetapkan dan dikenakan denda Gantirugi Rugi Tertentu dan Gantitugi Ditetapkan (LAD) selama 56 hari,” kata JKR.

Syed Saddiq yang membuat lawatan mengejut ke AMD pada Jumaat lalu meluahkan kekecewaan dengan pelbagai kepincangan yang berlaku di akademi hingga boleh merencatkan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Susulan daripada itu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan masalah yang berlaku di AMD adalah sesuatu yang normal bagi sebarang projek kerajaan.

Malah, beliau berkata semua pihak juga tidak perlu khuatir memandangkan projek itu masih lagi berada dalam tempoh tanggungan kecacatan di mana kontraktor tetap perlu memperbaiki segala masalah yang dinyatakan tanpa sebarang kos kepada kerajaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");