Berita Hari Ini

Jawatan PM, MB, KM Hanya Dua Penggal

KUALA LUMPUR: Mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada dua penggal adalah langkah segera kerajaan untuk mereformasi sistem politik, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu adalah sebagai menghormati mandat diberikan rakyat untuk Pakatan Harapan (PH) melakukan perubahan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Langkah segera untuk mereformasi sistem politik akan dilaksanakan. Tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri akan dihadkan kepada dua penggal. Perdana Menteri juga tidak akan memegang portfolio lain.

“Mandat yang diberikan oleh rakyat adalah untuk kita melakukan perubahan. Maka reformasi tadbir urus menjadi keutamaan.

“Kita telah memulakannya dengan menukar pemimpin institusi kritikal seperti institusi kehakiman, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya SPR),” katanya ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di Dewan Rakyat, hari ini.

Reformasi yang digariskan beliau itu terkandung dalam Tonggak 1: Mereformasi Tadbir Urus Ke Arah Meningkatkan Ketelusan dan Kecekapan Perkhidmatan Awam yang diletakkan dalam Keutamaan Pertama: Menambah Baik Tadbir Urus pada Semua Peringkat.

Dr Mahathir turut berkata, langkah tegas dan berkesan akan dilaksana untuk mempertingkat mekanisme semak dan imbang pada semua peringkat dengan sistem pentadbiran undang-undang akan dimantapkan dengan mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya diurus dua individu berlainan.

Katanya, kuasa autonomi Parlimen akan dipertingkat dengan memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963, sistem jawatankuasa pemilih akan diwujudkan, jawatankuasa ini akan memperaku pelantikan jawatan utama di SPRM, SPR, Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

“Hubungan antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan akan ditambah baik dengan mengembalikan semula semangat federalisme.

“Kerajaan negeri akan diperkasa melalui proses pengagihan kuasa Pusat bagi beberapa fungsi termasuk pengangkutan awam, perkhidmatan sosial dan perlindungan alam sekitar,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");