Jenayah

Kapal Angkasa Soyuz Gagal Berlepas, Dua Kru Selamat

BAIKONUR – KAZAKHSTAN. Seorang kosmonaut Rusia dan angkasawan Amerika Syarikat (AS) terselamat selepas kapal angkasa Rusia, Soyuz MS-10 yang dijadual membuat perjalanan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) gagal berlepas dan menyebabkan pendaratan cemas, semalam.

Agensi Penerbangan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (Nasa) memaklumkan, dua orang kru terdiri daripada kosmonaut Alexei Ovchinin dan rakyat AS, Nick Hague, mendarat di sebuah padang rumput kira-kira 400 kilometer dari tapak pelancaran kosmodrom Baikanour selepas kapal angkasa berkenaan mengalami kegagalan beberapa minit sejurus berlepas.

Kedua-dua mereka yang sepatutnya menjalani misi selama enam bulan di ISS dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan berada dalam keadaan baik selepas diselamatkan berhampiran bandar Dzhezkazgan.

Menurut Nasa, terdapat masalah dengan roket berkenaan antara tahap pertama dan kedua ketika peringkat pemisahan, dan kapsul yang membawa Ovchinin dan Hague terpisah dari roket sebelum menjunam jatuh.

Kapsul yang dilengkapi payung terjun itu kemudian mengalami apa yang digelar Nasa, penurunan cerun balistik dan mengambil masa 34 minit untuk mendarat.

Satu-satunya cara untuk membawa angkasawan ke ISS sejak tahun 2011 adalah dengan menggunakan kapal angkasa Soyuz yang merupakan roket rekaan lama yang dianggap antara paling selamat.

Sementara itu, agensi angkasa lepas Rusia, Roscosmos mengarahkan penubuhan sebuah suruhanjaya untuk menyiasat kejadian berkenaan dan Timbalan Perdana Menteri Rusia, Yuri Borisov memaklumkan, tiada lagi misi yang akan dijalankan sehingga keadaan keselamatan terjamin.

Insiden semalam, adalah masalah serius pertama berkaitan pelancaran dialami misi angkasa lepas Soyuz sejak 1983 apabila kru berjaya menyelamatkan diri sebelum berlaku letupan di tapak pelancaran. – BBC/Reuters

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");