Berita Hari Ini

KDN Ada Maklumat Terbaru Lokasi Jho Low

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan mempunyai maklumat terkini lokasi persembunyian ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata maklumat itu diperoleh KDN menerusi sumber tertentu yang terus berusaha memburu Jho Low.

“Saya ingin menyatakan komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap isu ini, kita tidak main-main kerana perkara ini cukup besar dan semua rakyat ingin tahu.

“KDN menerusi sumber tertentu terus berusaha (mengesan Jho Low) dan beberapa hari lalu, saya mendapat maklumat terkini bahawa kita tahu di mana dia,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pencelahan RSN Rayer (PH-DAP Jelutong) ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) di Dewan Rakyat, hari ini.

Muhyiddin berkata, KDN sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja untuk memastikan Jho Low dibawa pulang ke negara ini dan menghadapi perbicaraan membabitkan kes berkaitannya.

“Dia dikatakan bergerak dari satu tempat ke tempat lain bagi mengelak ditahan. Usaha memburunya tidak akan berhenti sehingga kita menahannya.

“Kalau Yang Berhormat cadang kita cari sehingga ke lubang cacing, lebih dari lubang cacing pun kita akan cari dia,” katanya.

Mengulas usaha Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN-UMNO Sembrong) ingin membantu kerajaan mencari dan membawa pulang Jho Low, Muhyiddin berkata, pihaknya tidak dimaklumkan oleh bekas Menteri Pertahanan itu.

“Saya tidak tahu Yang Berhormat Sembrong mahu mencari Jho Low, Sembrong kata kenal dengan pemimpin China. Sebenarnya di peringkat Putrajaya, beliau tidak menghubungi kami.

“Saya sendiri ada berhubung dengan Yang Amat Berhormat Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad) mengenai usaha Yang Berhormat Sembrong. Perdana Menteri kata beliau tidak diberitahu,” katanya.

Menjawab celahan Ramkarpal Singh (PH-DAP Bukit Gelugor) berhubung dakwaan ahli perniagaan, J Deepak, terhadap pembabitan Ahli Parlimen Pekan (Datuk Seri Najib Razak) dan isterinya (Datin Seri Rosmah Mansor) dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, Muhyiddin mengakui menyedari mengenai maklumat itu.

“Di peringkat KDN, jika ini dianggap sebagai bukti dan maklumat baharu, kita boleh ambil tindakan seperti dicadangkan.

“Jika disabitkan dalam siasatan itu, nama yang disebut perlu disiasat, maka polis boleh mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");