shadow

IPOH: Kerajaan Perak hari ini menyampaikan sumbangan dana berjumlah RM500,000 kepada ahli jawatankuasa Masjid Jamek Idris Iskandar Shah I, Kampung Sungai Rokam, di sini.

Majlis penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu selepas beliau dan para jemaah berkesempatan menunaikan solat Maghrib berjemaah.

Ahmad Faizal yang ditemui pemberita berkata beliau berasa bersyukur kerana dapat menyampaikan sendiri sumbangan tersebut kepada masjid berkenaan.

Umum mengetahui bahawa beliau membesar di Kampung Sungai Rokam, dekat sini.

“Apabila kita melihat bahawa cara pentadbiran kita yang berjimat cermat, dan kita berkemampuan, maka saya meluluskan pemohonan tersebut sepenuhnya, iaitu RM500,000, sebagaimana yang diminta ahli-ahli jawatankuasa masjid,” katanya.

Jelasnya, permohonan barisan ahli jawatankuasa Masjid Jamek Idris Iskandar Shah I telah dibuat kepadanya beberapa bulan yang lalu.

Sementara itu, pengerusi masjid tersebut, Adnan Din berkata, jumlah kos keseluruhan projek pembesaran kawasan masjid adalah bernilai RM3.5 juta manakala, sumbangan kerajaan negeri yang diterima pula akan disalurkan kepada kerja-kerja hiasan dalaman.

 

“Kita mahu menambah kapasiti jemaah masjid daripada 1,200 orang menjadi 1,500 orang jemaah dalam satu-satu masa.

“Ini semua untuk keselesaan jemaah yang melibatkan penduduk Kampung Sungai Rokam dan sekitarnya,” ujarnya,

Katanya lagi, kerja-kerja pembinaan yang telah bermula pada awal tahun ini dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2019.

Komen & Pendapat