Sukan Hari Ini

KFA Janji Lebih Profesional

ALOR SETAR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) kini cukup bersedia dan komited untuk melakukan usaha penambahbaikan menjadi persatuan yang lebih profesional pada masa depan.

Perkara ini ditegaskan Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris yang menyambut baik langkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meluluskan lesen AFC dan kebangsaan, melalui Badan Perlesenan Kelab (First Instance Body) FAM, Jumaat lalu.

Memetik laporan BH Online, kelulusan lesen yang diperolehi KFA itu dianggap satu permulaan yang baik terhadap pengurusan KFA, di bawah pentadbiran Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang kini dalam usaha meningkatkan lagi mutu pengurusan.

“Kita bersyukur dan ini satu berita baik yang dinantikan warga KFA serta penyokong.

“Selepas Mesyuarat Eksekutif KFA sebelum ini, kita telah mengumumkan penstrukturan baharu termasuk perlantikan ketua jurulatih dan penolong skuad Liga Super musim depan. Kita juga menilai semula penjimatan kos pengurusan bagi jawatan yang tidak diperlukan.

“KFA sudah melakukan persediaan secara menyeluruh, termasuk perbincangan dengan perbadanan stadium mengenai infrastuktur yang mengikuti ketetapan untuk saingan peringkat AFC,” katanya.

Kedah gagal memperolehi lesen AFC yang dipohon pada 2017 apabila tidak menghantar penyata kewangan beraudit kelab kepada FAM, sebelum tarikh tutup sekaligus memaksa Helang Merah melupakan hasrat bertanding dalam saingan Piala AFC musim 2018.

“Selepas kegagalan pada 2017, kita bersyukur KFA kini antara kelab yang memenuhi kriteria ditetapkan dalam peraturan pelesenan kelab FAM Edisi 2018 dan akhirnya kita diberikan lesen AFC dan kebangsaan.” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");