KUALA LUMPUR – Salah seorang daripada dua lelaki yang rakaman video mereka tular berikutan tergamak menangkap dan memasukkan seekor kucing bunting kemudian membiarkannya mati dalam mesin pengering di sebuah dobi layan diri di Taman Gombak Ria, bulan lalu dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Selayang dekat sini hari ini.
Hakim Rasyihah Ghazali memutuskan demikian terhadap seorang juruteknik elektrik, S. S. Satthiya, 26, selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ain Shafie memaklumkan pihaknya mendapat arahan daripada Pengarah Pendakwa Veterinar Selangor untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh.
“Kami mendapat arahan daripada pendakwaan Veterinar Selangor untuk melepas tanpa membebaskan Satthiya daripada pertuduhan mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.
“Namun kes terhadap A. Mohanraj, 41, tetap diteruskan dan semua dokumen telah sedia untuk diserahkan kepada tertuduh (Mohanraj),” katanya pada sebutan semula kes tersebut hari ini.
Sehubungan itu, mahkamah melepas tanpa membebaskan Satthiya daripada pertuduhan tersebut.
Pada 20 September lalu, Mohanraj yang bekerja sebagai pemandu teksi dan Satthiya mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan kejamnya menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap seekor kucing di sebuah premis Queen Self Service Laundry, Taman Gombak Ria, Batu Caves dekat sini antara pukul 12.54 tengah malam dan pukul 1 pagi, 11 September lalu.
Kedua-duanya didakwa melakukan perbuatan itu bersama-sama seorang lagi yang masih bebas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 29(1)(c) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 29(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kedua-dua tertuduh dan seorang lagi rakan mereka yang masih bebas ketika itu diburu selepas mereka membunuh seekor kucing bunting terbiar dengan memasukkannya ke dalam mesin pengering pakaian di dobi layan diri berkenaan.
Rakan mereka yang seorang lagi itu bagaimanapun telah berjaya diberkas minggu lalu dan akan didakwa di mahkamah sama sebentar lagi. – UTUSAN ONLINE