Perak Hari Ini, Berita Hari Ini

Lima Cedera Kemalangan Kereta Api

TANJUNG MALIM: Lima daripada 20 penumpang Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter cedera dalam kemalangan membabitkan kereta api berkenaan dengan kereta api KTM Kargo, 6.02 pagi, hari ini.

Dalam satu kenyataan Unit Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), kesemua penumpang yang cedera dihantar ke Klinik Kesihatan Kecil Tanjung Malim dan menerima rawatan pesakit luar dan sudah dibenarkan pulang.

Katanya, 15 lagi penumpang yang selamat pula dipindahkan ke kereta api KTM Komuter lain dan meneruskan perjalanan ke Stesen KL Sentral.

Menurutnya, kereta api KTM Kargo dengan muatan 30 gerabak memulakan perjalanan dari Stesen Jalan Kastam, 2.15 pagi dan sepatutnya tiba di Terminal Kargo Ipoh (ICT) pada 7.50 pagi.

Menurut kenyataan itu, kereta api berkenaan kemudiannya dipercayai berlanggar dengan kereta api KTM Komuter yang ingin memulakan perjalanan dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Pelabuhan Klang pada 6.05 pagi.

Katanya, kemalangan itu turut mengakibatkan kelewatan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) sektor utara dan KTM Komuter Tanjung Malim-Kepong.

“Tren ETS perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur dijadualkan berlepas pada 5.05 pagi dan dijangka tiba pada 8.05 pagi mengalami kelewatan perjalanan selama 60 minit manakala perjalanan dari Kuala Lumpur ke Padang Besar mengalami kelewatan 25 minit.

“Perkhidmatan tren ETS bagi Sektor Utara selain daripada yang tersebut di atas akan mengalami kelewatan perjalanan di antara 10 hingga 15 minit,” katanya dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memberitahu, kemalangan itu turut mengakibatkan perkhidmatan KTM Komuter mengalami kelewatan selama 15 minit iaitu membabitkan perjalanan dari Tanjung Malim ke Kepong manakala 25 minit bagi perjalanan Kepong ke Tanjung Malim.

Katanya, perkhidmatan tren KTM Komuter selain daripada laluan Tanjung Malim-Kepong akan beroperasi seperti biasa dan kesemua kelewatan itu disebabkan hanya satu landasan dapat digunakan.

“KTMB memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku. Kerja-kerja baik pulih dan siasatan lanjut berkaitan insiden ini sedang dijalankan.

“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari masa ke masa, untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200 atau layari Twitter @ktm_berhad,” katanya.

Pegawai dan kakitangan KTMB kelihatan sibuk melakukan pemeriksaan kerosakan, namun pihak pengawal di stesen itu menghalang pihak media daripada merakam gambar atau video tren terbabit kemalangan.

Penumpang komuter pula kelihatan menunggu di luar dan hanya dibenarkan memasuki platform hanya apabila tren tiba di satu lagi laluan yang tidak terjejas dengan kejadian itu.

Seorang penumpang yang juga penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Suhadah Majid, 21, ketika ditemui berkata, dia bersama seorang rakan sepatutnya menaiki Komuter untuk ke KL Sentral pada 10.15 pagi, namun perjalanan itu tertangguh lebih setengah jam lapor NSTP.

“Saya dimaklumkan untuk menunggu sehingga 20 minit daripada jadual asal kerana masalah itu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");