Berita Hari Ini

Mekanisme Baharu Agih Dana Untuk Rakyat – Azmin

KUANTAN: Kerajaan akan mewujudkan satu mekanisme pengagihan dana pembangunan kepada empat negeri pembangkang bagi memastikan rakyat terutama di luar bandar tidak ketinggalan dalam menerima pelbagai pembangunan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata adalah menjadi dasar kerajaan untuk memastikan pembangunan adil di seluruh negara termasuk Pahang, Perlis, Terengganu dan Kelantan yang ditadbir Barisan Nasional (BN) dan PAS.

Beliau berkata, kerajaan sedang memperhalusi mekanisme pengagihan dana bagi memastikan ia sampai terus kepada rakyat tanpa berlaku ketirisan.

“Perbincangan awal mengenai perkara berkenaan dilakukan pada Mesyuarat Majlis Presiden pagi tadi dan akan diteliti oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya mekanisme bakal diperkenalkan itu nanti tidak mewujudkan situasi dua kerajaan (parallel government) seperti yang berlaku ketika pemerintahan kerajaan BN sebelum ini.

“Kita akan memperhalusi mekanisme ini supaya ia dapat dilaksanakan dengan berkesan… contohnya sebelum ini royalti minyak Terengganu disampaikan kepada rakyat dalam bentuk wang ihsan, namun ia tidak telus dan hanya dikuasai oleh pemimpin UMNO di kawasan berkenaan.

“Kita tidak mahu mereka menguasai dana kerajaan kerana peruntukan ini adalah untuk rakyat dan mekanisme baharu itu adalah untuk memberi impak pembangunan di kawasan berkenaan,” katanya.

Timbalan Presiden PKR itu ditemui pada majlis Pidato Malaysia Baharu di Kompleks Dagangan Mahkota, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Menteri Luar yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaaffar dan Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Edmund Santhara.

Mohamed Azmin berkata, beliau turut mencadangkan dalam mesyuarat itu untuk memberikan hak kepada rakyat menentukan bentuk pembangunan yang dikehendaki di kawasan mereka dan bukan lagi sepenuhnya ditentukan oleh kerajaan.

Katanya, amalan itu sudah dilakukan di Selangor sebelum ini di mana persatuan penduduk, persatuan belia dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diberikan hak untuk menentukan hak perbelanjaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sebanyak 20 peratus daripada jumlah yang diperoleh.

“Rakyat mesti rasai mereka juga sebahagian daripada pembangunan, walaupun bukan keseluruhan… ini kerana mereka lebih memahami bentuk pembangunan yang diperlukan di kawasan berkenaan,

“Saya cadangkan perkara ini di peringkat Mesyuarat Majlis Presiden dan akan diputuskan di peringkat Kabinet,”katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");