Berita Hari Ini

MP Umno Usik Anwar Sebagai Bakal PM

Anggota parlimen dari kedua-dua belah pihak pada penghujung sesi persidangan Dewan Rakyat hari ini saling usik mengusik apabila anggota parlimen Umno menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengganti perdana menteri.

Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) melaungkan “hidup PD!” ketika Anwar bersiap sedia meninggalkan Dewan Rakyat selepas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membentangkan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) (2016-2020).

Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) kemudian berkata, “hidup Tun (Mahathir), perdana menteri selama lima tahun” sambil diperhatikan Mahathir yang kelihatan terpinga-pinga.

Ismail Mohamed (BN-Kuala Krau) pula menyampuk : “Dua tahun je PD! Lagi dua tahun je jadi PM, telah dikurangkan had dia”.

Sementara itu, bekas menteri Umno Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) pula melaungkan “hidup Langkawi” dan “hidup PD” ke arah Mahathir dan Anwar.

Mahathir yang juga anggota parlimen Langkawi sebelum ini berjanji menyerahkan kuasa kepada Anwar walaupun tempoh peralihan itu masih belum dimuktamadkan.

Perdana Menteri berkata beliau hanya akan berkuasa selama dua tahun, namun mengatakan tempoh itu mungkin lebih lama jika keadaan memerlukan.

Ramai anggota Parlimen Umno mengusik Anwar sebagai bakal pengganti perdana menteri sejak beliau mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen Port Dickson pada Isnin lalu.

Sementara itu, ketika Noraini terus mengusik Anwar, Anggota Parlimen Harapan pula membalas dengan menyarankan anggota parlimen Parit Sulung itu supaya keluar dari BN.

Thomas Su (HARAPAN-Kampar) memberitahu Noraini terdapat banyak tempat kosong sebagai anggota parlimen bebas, manakala Willie Mongin (HARAPAN- Puncak Borneo) pula berkata beliau boleh menyerahkan borang keanggotaan PKR kepada Noraini.

Noraini kemudian mencebik dengan mengatakan beliau hanya akan membuat ‘perjanjian’ jika Anwar berkuasa.

“Tunggu PD duduk sana, barulah boleh deal lain,” katanya sebelum meninggalkan dewan.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");