Panasnya Hari Ini

Norhizam Mohon Maaf

MELAKA: EXCO kerajaan negeri, Norhizam Hassan Baktee yang mencetuskan kemarahan orang ramai berhubung isu video ‘naik suara’ terhadap penduduk Kampung Pulau Nibong, Pengkalan Batu, di sini, yang viral semalam, tampil membuat permohonan maaf petang tadi.

EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri itu akhirnya mengakui kesilapannya yang bertindak mengikut emosi.

Norhizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu berkata, dia sedar insiden yang viral di media sosial memberi imej negatif kepada dirinya sebagai wakil rakyat dan kerajaan yang diwakili.

“Sebagai ADUN, saya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan penduduk, terutama rakyat di kawasan saya.

“Justeru, saya memohon maaf terhadap kekasaran bahasa dan keterlanjuran kata pada kejadian semalam. Saya akan berusaha perbaiki kelemahan dalam aspek komunikasi apabila berdepan situasi seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pertemuan bersama kira-kira 10 penduduk Kampung Pulau Nibong anjuran DAP negeri di Seri Negeri di sini.

Pertemuan hampir sejam itu menyaksikan Norhizam yang juga Timbalan Pengerusi DAP negeri dan penduduk saling memohon maaf dan bersalaman.

Yang turut hadir, EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Tey Kok Kiew; Setiausaha DAP negeri, Khoo Poay Tiong; dan wakil penduduk yang viral dalam video berkenaan, Md Derus Tompang, 58.

Sementara itu, Poay Tiong berkata DAP negeri kesal dan turut membuat permohonan maaf selepas mengakui cara dan pertuturan kasar oleh wakil rakyat terbabit.

“Saya menerima baik teguran dan nasihat disampaikan rakyat dan akan memperbaiki segala kelemahan (wakil rakyat) daripada parti kami,” katanya.

Kok Kiew pula berkata, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) sudah diarah mengadakan perjumpaan semula bersama kira-kira 180 penduduk kampung dan taman di kawasan berkenaan bagi menyelesaikan isu penutupan jalan alternatif yang menjadi laluan penduduk secara baik.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");