Berita Hari Ini

Parlimen Mahu Contohi Sistem Britain Dan Australia

KUALA LUMPUR: Parlimen Malaysia mahu mencontohi sistem dilaksanakan di Britain dan Australia khususnya dalam menginstitusikan sistem jawatankuasa.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, berkata ia bakal diperkenalkan dalam masa terdekat dalam usaha mematangkan lagi sistem demokrasi di negara ini.

“Ketika ini, kita ada beberapa jawatankuasa yang tidak perlu untuk ditubuhkan.

“Kita mahu menubuhkan jawatankuasa yang selari dengan Britain dan Australia memandangkan kedua-dua negara itu memiliki sistem demokrasi yang matang,” katanya, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Advokasi Ahli Parlimen di Bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Program dua hari itu turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Britain di Malaysia, Vicki Treadell dan Pengerusi Westminster Foundation For Democracy, Hugh Bayley.

Mohamad Ariff berkata, melalui program advokasi yang disertai 40 Ahli Parlimen, Senator dan badan bukan kerajaan (NGO) itu, beliau menjangkakan lebih banyak perubahan yang boleh dilakukan di peringkat jawatankuasa.

“Jawatankuasa membenarkan kita untuk berhubung dengan pihak berkepentingan.

“Suatu hari nanti, tidak mustahil untuk kita memiliki sistem demokrasi yang lebih matang,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Ariff turut ingin memperkenalkan semula Parlimen sebagai badan bebas.

“Perkara ini sangat penting kerana ia mempunyai fungsi untuk mengasingkan kuasa.

“Parlimen perlu bertindak sebagai badan bebas. Kerajaan yang kuat akan mengukuhkan lagi sistem Parlimen.

“Dengan itu, ia akan membina negara yang mempunyai kuasa yang sah,” katanya.

Setakat ini, Parlimen mempunyai beberapa jawatankuasa seperti Jawatankuasa Pemilih, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat serta Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");