Berita Hari Ini

Patuhi Undang-Undang Penting Dalam Proses Pemulihan Negara – PM

PUTRAJAYA: Semua pihak dalam negara, tidak kira pemerintah atau Raja-raja, perlu mematuhi undang-undang kerana ia penting dalam proses pemulihan pemerintahan negara yang sedang dilaksanakan, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketika mengingatkan tentang keluhuran undang-undang yang merupakan satu daripada Rukun Negara, beliau berkata, ketidakpatuhan terhadap undang-undang boleh menyebabkan huru-hara dan menyukarkan proses pemulihan.

“Setiap satu perbuatan kita perlu mengikut undang-undang dan peraturan. Bagi Perdana Menteri atau Raja, menteri atau pegawai pentadbir atau polis, tentera, segala tindakan perlu mengikut peraturan-peraturan. Jika tidak mengikut peraturan, maka akan berlaku huru-hara dalam negara kita.

“Ini amat penting sekali kerana kita sedang cuba memulihkan kerajaan pemerintah di dalam negara ini. Jika tidak berpandukan kepada undang-undang, maka pemulihan negara tidak akan berlaku,” katanya ketika berucap pada perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, kerajaan memerlukan undang-undang yang luhur dan mulia, serta yang menjunjung keadilan undang-undang yang tidak menekankan atau mengetepikan mana-mana pihak.

Menurut Dr Mahathir, tidak ada mana-mana pihak yang boleh membuat sesuka hati atau apa sahaja kerana berkuasa walaupun di peringkat Raja mahupun pemerintah.

Katanya, bangsa bertamadun menerima undang-undang dan peraturan untuk kelangsungan hidup dan pembangunan bangsa.

“Kita tahu kita adalah satu bangsa bertamadun. Orang yang bertamadun, tidak bergerak tanpa peraturan dan undang-undang. Jika kita tidak iktiraf peraturan atau undang-undang, maka kita tidak boleh mendakwa kita bangsa bertamadun,” katanya.

Dr Mahathir berkata, walaupun Malaysia merupakan negara demokrasi, perkara utama adalah semua pihak perlu mematuhi undang-undang yang melindungi rakyat, Raja dan pemerintahan.

Katanya, hanya undang-undang yang benar-benar melindungi semua pihak perlu diteruskan dan diamalkan. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");