Sukan Hari Ini

Perak Lengkapkan Saingan Separuh Akhir

PERAK menyekat hajat PKNS FC apabila melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia menerusi kemenangan 2-0 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Melangkah ke pertemuan suku akhir kedua, kedua-dua pasukan memiliki peluang seimbang selepas aksi di Ipoh tempoh hari buntu tanpa jaringan.

Memetik laporan Stadium Astro, Wander Luiz muncul wira The Bos Gaurus (TBG) apabila meledak gol pada setiap babak untuk menempah pertemuan dengan Sabah, minggu depan.

Pemain tengah, Norhakim Hassan, menjana gerakan yang disudahkan penyerang dari Brazil itu apabila melepaskan rembatan deras untuk mengecewakan penjaga gol, Zarif Irfan, untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-23.

Perak terus melancarkan asakan yang hampir menggandakan kedudukan di sebalik permainan keras tuan rumah.

Begitupun, sentuhan berbisa Luiz kembali menghantui kem Semut Merah dan kali ini menggunakan kepalanya untuk menyempurnakan hantaran lintang Firdaus Saiyadi.

Situasi bertambah sukar buat skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal itu untuk bangkit apabila tempang tanpa seorang pemain.

Penyerang, Jafri Firdaus Chew, diperintah keluar padang kerana kekasaran terhadap Leandro.

Walaupun sudah mendahului selesa, Perak terus memberi tekanan kepada pertahanan KNS sehingga wisel penamat.

Sehubungan itu, Perak mengiringi Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu selain Sabah untuk berentap di peringkat separuh akhir.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");