Panasnya Hari Ini

Peratusan Rendah Keluar Mengundi Tanda Protes

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menyifatkan peratusan keluar mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson yang rendah adalah petanda undi protes terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana gagal melaksanakan manifesto dijanjikan.

Menurutnya, ia juga menunjukkan rakyat khususnya di Port Dickson memboikot politik berkepentingan diri.

“(Namun) PAS menghormati keputusan rakyat dalam PRK Port Dickson yang terpaksa diadakan demi kepentingan politik seseorang,” katanya dalam satu kenyataan semalam, lapor BH Online.

PRK semalam menyaksikan peratus pengundian adalah 58.25 peratus berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 85.05 peratus.

Biarpun menurun, peratusan keluar mengundi itu mengatasi tiga PRK sebelum ini iaitu PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis yang mencatatkan 49.9 peratus manakala Balakong (43 peratus) dan Seri Setia (44 peratus).

Abdul Hadi juga gembira susulan peningkatan jumlah undi diterima calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar berbanding pada PRU-14.

“PAS mengucapkan terima kasih kepada pengundi atas kepercayaan yang diberikan dengan menunjukkan peningkatan jumlah undi kepada PAS berbanding PRU-14.

“PAS terus komited untuk menegakkan keadilan dan kedaulatan undang-undang serta memperjuangkan kebajikan rakyat termasuk warga tentera melalui saluran demokrasi sebagai pembangkang yang menasihat.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada calon PAS, Mohd Nazari di atas kesungguhan beliau dalam melaksanakan keputusan parti dengan penuh istiqamah,” katanya.

PRK Port Dickson yang menyaksikan saingan tujuh penjuru, dimenangi Ketua UMUM PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan memperoleh 31,016 undi, menewaskan Mohd Nazari yang mendapat 7,456 undi.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad yang bertanding atas tiket Bebas memperoleh 4,230 undi sementara bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan mendapat 82 undi.

Tiga lagi calon Bebas, Stevie Chan Keng Leong memperoleh 337 undi, manakala Lau Seck Yan (214 undi) dan Kan Chee Yuen (154 undi).

PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi itu pada 12 September lalu bagi membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

Ia adalah sebahagian daripada pelan PH bagi melantik Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");