Jenayah

Polis Penampang Tumpas Kumpulan Pecah Rumah

PENAMPANG – Polis menumpaskan kumpulan pecah rumah ‘Geng Wan’ yang dipercayai terbabit dalam lima kes di kawasan perumahan Cybercity di sini setelah empat anggotanya diberkas di sekitar kawasan perumahan itu semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata kesemua suspek yang berusia lewat 20-an termasuk seorang pemandu Grab, diberkas  antara 9.30 dan 10 malam.

Dua suspek pertama ditangkap di kawasan letak kereta pada 9.30 malam yang seterusnya membawa kepada tangkapan dua lagi suspek serta penemuan pelbagai barang curi termasuk sebuah kereta  dengan nilai keseluruhan RM37,000, katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata keempat-empat lelaki terbabit yang merupakan warga tempatan juga positif dadah.

“Mereka ini aktif melakukan kegiatan jenayah pecah rumah di kawasan perumahan Cybercity sejak awal bulan ini,” katanya.

Mengulas kes berasingan, beliau berkata polis menahan seorang lelaki Filipina berumur 29 tahun di depan sebuah hotel di sini selepas pemeriksaan terhadapnya menemukan satu peket plastik mengandungi hablur lut sinar seberat 50.50 gram disyaki dadah jenis syabu .

Mohd Haris berkata siasatan awal ke atas lelaki yang diberkas pada 1 tengah hari Isnin itu mendapati suspek aktif mengedar dadah di kawasan Penampang sejak setahun lalu.

Sementara itu, Mohd Haris berkata dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Penampang merekodkan 31 kes berkaitan dadah melibatkan 34 tangkapan dengan rampasan dadah lebih 12 kilogram bernilai kira-kira RM64,200.

Jumlah rampasan itu jauh lebih tinggi berbanding hanya sekitar 405 gram bagi tempoh sama tahun lalu, katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");