shadow

SUNGAI PETANI: Seorang pembantu kedai makan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dengan sembilan sebatan selepas didapati bersalah melakukan samun berkumpulan bersenjata kedai dobi dan kedai runcit 24 jam di Bandar Puteri Jaya, Taman Ria dan tepi Pasaraya CMart Sungai Petani awal bulan lalu.

Tertuduh Muhamad Zulfikar Nazriq Mohd Zahir, 21, mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan kali kedua di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen 2 Sungai Petani, N.Priscilla Hemamalini.

Sementara itu, tertuduh kedua Muhammad Asmuhairyl Abas, 20, mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan kedua tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas melakukan rompakan dengan mengguna parang.

Tertuduh bertindak merampas telefon bimbit milik seorang wanita berusia 23 tahun di hadapan sebuah pasar raya pada 7.15 pagi pada 10 September lalu.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang di sebuah kedai dobi di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani pada 7 pagi, 11 September lalu.

Tertuduh telah menyamun barang kemas dan barangan peribadi milik wanita berusia 37 tahun itu.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang di sebuah kedai 24 jam di Jalan Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani, pada jam 7.15 pagi, 11 September lalu lapor Astro Awani.

Tertuduh telah melarikan wang tunai berjumlah RM1,500, telefon bimbit dan aksesori lain milik seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan.

Hakim N. Priscilla Hemamalini kemudian menjatuhkan hukuman empat tahun penjara dan tiga sebatan terhadap Muhamad Zulfikar Nazriq bagi setiap pertuduhan dan hukuman dijalankan secara berasingan dari tarikh mula ditangkap.

Hakim turut menetapkan 25 Oktober depan bagi sebutan semula kes terhadap tertuduh kedua Muhammad Asmuhairyl Abas.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Savinder Singh Jugindar Singh manakala Mohamad Zulfikar Nazriq dan Muhammad Asmuhairyl diwakili peguam K.Sobini.

Komen & Pendapat