Berita Hari Ini

Saya Tak Mahu Panjangkan Lagi Isu Ini – Mujahid

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa tidak mahu memanjangkan kontroversi serbuan khalwat yang tercetus kerana kesilapan tajuk berita yang ditulis The Star.

Katanya, The Star sudah pun mengeluarkan kenyataan mengakui beliau tidak pernah menyebut mahu ‘menghentikan ketukan pintu pada waktu malam’ ketika temu bual eksklusif dengan wartawannya.

Sehubungan itu, beliau tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap media berkenaan kerana tanggungjawabnya untuk memperbetulkan kesalahan berkenaan sudah terlaksana.

“Saya bukan orang yang suka saman atau menekan media sebab banyak lagi isu lain yang perlu saya fikirkan, jadi saya nak bergerak ke depan serta tidak mahu panjangkan isu ini.

“Tanggungjawab saya untuk perbetulkan keadaan dan sama ada perkataan maaf ada ada atau tidak (dalam kenyataan The Star) bukan utama, yang penting tajuk itu bukan apa yang saya kata.

“Bukan kebiasaan saya untuk saman kerana saya hormat kebebasan media, tetapi kebebasan itu perlu berpandu pada tanggungjawab sama ada daripada pihak mereka atau saya,” katanya ketika ditemui di Sri Pentas di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada menerima kenyataan The Star yang mengakui menyesal dengan kejadian itu sebagai permohonan maaf atau mahu meneruskan tindakan undang-undang terhadap media berkenaan.

Media berbahasa Inggeris itu sebelum ini melaporkan Mujahid sebagai berkata, pihak berkuasa agama tidak lagi akan mengetuk dan memecahkan pintu pada waktu malam untuk operasi khalwat dan kegiatan maksiat lain, yang mencetuskan polemik.

Laporan itu mencetuskan kontroversi dalam kalangan pelbagai pihak, termasuk mufti, badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli politik tampil menyokong atau menentang kenyataan didakwa dikeluarkan Mujahid itu.

Mujahid berkata, pengguna media sosial juga perlu menggunakan kebebasan mereka sebaik mungkin dan tidak menyalahgunakannya untuk menyebar penipuan dan fitnah.

“Tajuk berita salah itu, yang baca di akhbar mungkin 10,000 pembaca tapi yang membacanya di media sosial mungkin 100,000 orang.

“Saya boleh terima kritikan membina, saya bukan maksum. Saya suka orang kritik kerana saya akan perbaiki kelemahan.

“Tetapi saya tidak boleh terima apabila perkara yang tak betul dipanjangkan kerana ini penipuan dan kalau saya dah jawab serta orang yang buat berita pun mengaku, apa lagi saya nak rayu (supaya isu ini dihentikan),” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");