Panasnya Hari Ini

Sedia Pulangkan Pingat Selepas Ditegur DAP

MELAKA TENGAH – Timbalan Speaker Dun, Datuk Dr Wong Fort Pin bersedia untuk memulangkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang dianugerahkan kepadanya sekiranya DAP mahu beliau berbuat demikian.

Katanya, beliau sudah melakukan kesilapan pada parti.

“Sekiranya kepimpinan parti minta pulangkan darjah kebesaran itu, saya sedia berbuat demikian,” katanya yang juga Adun Bemban lapor Sinar Harian.

Sebelum menerima darjah kebesaran berkenaan, beliau telah memaklumkan kepada Ketua Menteri, Adly Zahari yang ketika itu serba salah untuk menerimanya.

Bagaimanapun, katanya, Adly menyatakan ia di luar bidang kuasanya, tetapi akan membantu sekiranya terdapat isu yang timbul disebabkan darjah tersebut.

Isu berkenaan timbul selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegur sikap pemimpin parti itu yang menerima darjah kebesaran negeri Sabah dan Melaka yang membawa gelaran Datuk, sebelum menunjukkan komitmen serta prestasi kepada rakyat.

Guan Eng berkata, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP justeru akan mengadakan mesyuarat pada minggu depan bagi membincangkan perkara itu kerana menyifatkan ia tidak mencerminkan perjuangan parti.

“Kalau tahun pertama (menjadi kerajaan) kita terima gelaran ini, ini mungkin akan menimbulkan persepsi lain kepada rakyat. Kita hormat dan kasih kepada mereka yang hendak berikan gelaran tetapi macam di Melaka, Tun Ghaffar Baba lebih senang dipanggil sebagai Encik Ghaffar Baba.

“Malahan, Ketua Menteri Melaka dan Sabah juga tidak terima, mengapa pemimpin kita perlu terima? Jangan lupa Karpal Singh dan Lim Kit Siang tidak mahu gelaran kerana mereka hanya ingin berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Menurut Fort Pin, beliau mengakui kurang mengambil perhatian mengenai prinsip parti memandangkan sebelum ini terdapat juga wakil rakyat dari parti mereka yang menerima darjah membawa gelaran Datuk selain dirinya dan Adun Banda Hilir, Datuk Tey Kok Kiew.

“Saya tersepit, dan rasa serba salah. Namun, kerana menghormati Yang di-Pertua negeri, maka tidak sopan untuk saya menolak darjah itu kerana bukan kita yang meminta untuk mendapatkan darjah itu, sebaliknya diberikan.

“Apa pun teguran Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, saya terima dengan hati terbuka dan mahu memberi fokus untuk bekerja kepada rakyat,” katanya.

Fort Pin berkata, penerimaan darjah kebesaran itu juga bagi mengelak isu yang boleh dimainkan segelintir pihak bahawa beliau menghina Yang di-Pertua Negeri kerana menolak darjah kebesaran diberikan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");