IPOH: Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menangkis dakwaan yang mengatakan pandangan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung isu pembinaan lapangan terbang baharu di negeri ini bercanggah dengan pandangannya.
Jelasnya, selain selari malah beliau bersetuju dengan pandangan Nizar tentang kajian yang perlu dilakukan oleh kerajaan negeri terhadap perkara tersebut khususnya melibatkan kedudukan kewangan negeri masa kini.
Tambahnya lagi, selain cadangan pembinaan lapangan terbang baharu, beliau juga menyatakan komitmen untuk turut menaiktaraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), di sini.
“Apa yang kita usahakan pembinaan sebuah lapangan terbang bertaraf antarabangsa, sambil kita menaiktaraf lapangan terbang di Ipoh.
“Saya daripada awal lagi sudah konsisten untuk menambah baik lapangan terbang itu supaya ia membolehkan pesawat yang lebih besar mampu mendarat dan ia juga dapat menarik pelancong yang memerlukan perjalanan 4 ke 5 jam penerbangan,
“Contohnya yang datang daripada India dan China untuk turun ke Malaysia,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Peringkat Negeri di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), di sini, hari ini.
Selain itu ujarnya, cadangan pembinaan lapangan terbang baharu yang berkemungkinan akan dibangunkan sama ada di Tapah mahupun di Behrang itu turut akan memberi ruang buat pesawat penerbangan kos rendah untuk mendarat.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta untuk mengulas kenyataan Nizar baru-baru ini yang merasakan cadangan pembinaan lapangan terbang baharu itu perlu dikaji semula.