Berita Hari Ini

Serius Kuat Kuasa Larangan Penggunaan Straw

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah serius menguatkuasakan larangan penggunaan penyedut minuman plastik berkuat kuasa mulai 1 Januari 2020 demi kelestarian alam dan kesejahteraan penduduk di ibu negara.

Menterinya, Khalid Abdul Samad, berkata sebagai pengganti kepada penyedut minuman plastik konvensional, bahan daripada biodegradasi atau kertas boleh digunakan kerana ia mesra alam.

Bagaimanapun katanya, penguatkuasaan larangan penggunaan penyedut minuman plastik hanya untuk peniaga dan pengusaha kedai makan yang memegang lesen dan bukan orang ramai seperti tertera dalam syarat lesen perniagaan mulai 1 Januari depan.

“Usaha bersama ke arah alam sekitar lebih baik tidak akan berjaya tanpa kerjasama semua pihak mencakupi masyarakat berbilang kaum, pelajar institusi pengajian tinggi dan Institut Pendidikan Guru (IPG),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) Peringkat Wilayah Persekutuan dan Pertandingan Debat Terbuka Ilmu Khas (DeTIK) di IPG Kampus Ilmu Khas, di sini, lapor Berita Harian.

Khalid berkata, HASN Peringkat Wilayah Persekutuan kali ini lebih menarik kerana diisi dengan pertandingan debat yang membincangkan isu alam sekitar sebagai medium perdebatan.

“Program seumpama ini perlu dilaksanakan secara berterusan untuk mencetuskan kesedaran berhubung kepentingan menjaga alam sekitar sebagai tanggungjawab bersama,” katanya.

Sementara itu, Mohd Suhaimi berkata pihaknya bersama rakan kolaboratif yakin program berkenaan mampu melahirkan mahasiswa dan pendebat prihatin terhadap isu alam sekitar.

“Sebagai generasi muda yang mewarisi kepemimpinan negara, mahasiswa perlu memiliki daya pemikiran kreatif dan kritis berhubung kelestarian alam sekitar yang kondusif untuk didiami manusia, flora, fauna dan semua makhluk,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");