Jenayah

Siasatan Kes Cabul Babit Ahli Parlimen Hampir Lengkap

KANGAR: Siasatan terhadap kes cabul membabitkan seorang Ahli Parlimen di negeri ini, hampir lengkap selepas 10 individu sudah dipanggil memberi keterangan termasuk pemimpin terbabit.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd, berkata pihaknya dijangka dapat melengkapkan siasatan dalam tempoh terdekat sebelum merujuknya ke pihak Bukit Aman.

“Siasatan kini sudah hampir selesai dan selepas pihak Bukit Aman berpuas hati, kita akan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

“Ahli Parlimen terbabit sudah dipanggil ke Bukit Aman pagi ini, untuk diambil keterangan dan sekarang kita cuma menunggu kertas siasatan siap sahaja,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online, hari ini.

Sebelum ini, seorang Ahli Parlimen di negeri ini disyaki mencabul seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di pekarangan Stadium Tuanku Syed Putra di sini, pada malam 20 Oktober lalu.

Berdasarkan keterangan mangsa, dia bersama rakannya ketika itu sedang membuat latihan nyanyian sebelum Ahli Parlimen terbabit tiba dan memanggil mangsa masuk ke dalam kereta bersendirian.

Sewaktu berada di dalam kereta, dia dilaporkan disentuh pada bahagian tangan dan bahu oleh Ahli Parlimen terbabit sebelum mangsa lari keluar dari kereta sambil menangis.

Noor Mushar turut menegaskan, bahawa kes berkenaan dikategorikan sebagai sulit dan membidas dakwaan segelintir pihak yang mendakwa polis cuba menutup kes terbabit.

“Saya tegaskan kepada mana-mana individu yang muncul susulan kes ini, jangan menyibuk dan sesekali cuba mengajar polis mengenai undang-undang di negara ini.

“Kita diam bukan bermakna tidak buat kerja, tetapi ada perkara yang polis tidak boleh hebohkan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan peguam, Latheefa Koya supaya polis melakukan siasatan mengenai dakwaan terdapat sogokan dari pihak tertentu terhadap mangsa sehingga keluarga mangsa menarik semula laporan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");