Berita Hari Ini

SPRM Turut Ambil Keterangan Menantu Ahmad Zahid

PUTRAJAYA: Menantu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk diambil keterangannya, hari ini.

Sumber SPRM, memberitahu Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff yang juga suami kepada anak perempuan Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid turut disoal siasat berhubung kes sama iaitu penyelewengan dana sebuah yayasan.

“Ya SPRM hari ini memanggil Ahmad Zahid dan menantunya untuk diambil keterangan,” kata sumber.

Selain Ahmad Zahid, SPRM sudah pun mengambil keterangan Nurulhidayah dan adik kepada Ahmad Zahid iaitu Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi berhubung isu sama, semalam.

Justeru, Saiful Nizam adalah individu terbaru yang dipanggil SPRM bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana yayasan berkenaan.

Dalam pada itu, setakat jam 3 petang tadi, sesi mengambil keterangan Ahmad Zahid masih berlangsung, namun sesi Saiful Nizam dipercayai sudah selesai kira-kira jam 1 tengahari tadi.

Ahmad Zahid, 65, sudah empat kali dipanggil ke SPRM untuk diambil keterangannya dengan kali pertama dan kedua pada awal Julai lalu serta semalam.

Beliau dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan siasatan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi yang dikaitkan dengan beliau untuk digunakan menjelaskan hutang kad kredit milik beliau dan isterinya membabitkan nilai mencecah RM800,000.

Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga bekas timbalan perdana menteri itu juga pernah dipanggil oleh SPRM berhubung dakwaan beliau bertemu dengan kerabat Arab Saudi yang dikatakan memasukkan wang RM2.6 bilion ke akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");