IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melancarkan Modul Fiqh Kesihatan (Pemakanan & Kecergasan) serta Hadis Jihad yang julung kali di negeri ini.
Acara pelancaran disempurnakan bersempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Peringkat Negeri Perak di Institut Tadbir Islam Negeri Perak (INTIM) di sini, hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim serta diiringi oleh Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin yang ditemui berkata, inisiatif modul tersebut bertujuan untuk dijadikan rujukan kuliah di masjid-masjid di negeri ini.
“Sebenarnya saya cuba untuk memecahkan tradisi majlis pengajian di masjid terutamanya hal berkaitan dengan jemaah.
“Dengan kerjasama daripada para doktor, fiqh kesihatan ini akan dijadikan bahan kuliah di masjid iaitu dengan menceritakan cara penjagaan kesihatan, pemakanan dan sebagainya,” katanya.
Selain itu, Mohd Yusop berkata, 300 buah hadis sahih turut dipilih untuk dijadikan panduan berkenaan dengan Modul Hadis Jihad yang menerapkan konsep jihad dalam konteks yang sebenar.
Tambahnya, inisiatif tersebut juga sebagai langkah untuk mengubah persepsi masyarakat hari ini terhadap konsep jihad serta dapat mengelakkan mereka daripada terjerumus terhadap fahaman ekstrimis.
“Masyarakat kini menganggap jihad sekadar jihad dalam peperangan, tetapi sebenarnya konsep jihad itu luas seperti jihad membasmi kejahataan, membasmi kemiskinan dan banyak lagi berdasarkan hadis-hadis yang sahih.
“Kedua-kedua modul ini akan dilaksanakan di seluruh masjid di negeri ini secara berperingkat-peringkat,” katanya.
Pada majlis yang berlangsung pagi tadi, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan anugerah dan sijil penghargaan kepada 72 orang penerima.
Ia termasuk penghargaan kepada 17 hafiz dan hafizah muda daripada beberapa maahad tahfiz yang telah berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran.