Perak Hari Ini

Tak Ada Masalah Capai Misi Tanam 2 Juta Pokok Tahun Depan – MB Perak

KUALA KANGSAR: Kerajaan negeri yakin bahawa usaha Jabatan Perhutanan Perak (JPNPk) yang mensasarkan penanaman 2 juta pokok di seluruh negeri pada tahun hadapan bakal tercapai.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, pandangannya itu bersandarkan kejayaan JPNPk yang bukan sahaja berjaya mencapai sasaran penanaman 1 juta pokok malah, bilanganya mencecah 1.4 juta pokok.

Katanya lagi, selain berbangga dengan pencapaian tersebut, beliau turut menyambut baik kata-kata Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan yang menaruh harapan agar kejayaan di Perak dapat menjadi contoh di negeri-negeri lain.

“Untuk tahun ini mereka meletakkan sasaran yang rendah supaya ianya mudah dicapai. Kali ini pula diletakkan sasaran 2 juta pokok.

“Apabila kita sudah berjaya capai sasaran 1 juta pokok malah, kita berjaya capai lebih, maka untuk mencapai 2 juta pokok saya berpandangan ia tidak jadi masalah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri di Pos Kuala Mu, Sungai Siput, di sini, hari ini.

Pada program tersebut, Menteri Besar turut berkesempatan menanam anak pokok buah-buahan yang ke 1.141 juta di perkarangan Arena Kuala Mu.

Ketika berucap pada masjlis tersebut, Ahmad Faizal berkata, pihaknya kini sedang giat mengkaji potensi penjanaan hasil pendapatan negeri lain dalam sektor perhutanan yang tidak semata-mata melibatkan industri kayu.

“Ini termasuklah potensi penjualan karbon menerusi program-program penghutanan semula bersama pihak-pihak yang berkepentingan.

“Dalam erti kata lain, Perak berhasrat untuk menubuhkan ‘Oxygen Land-Bank’ yang pada ketika ini sedang dikaji tentang pembentukkannya,” katanya.

Mengulas lanjut tentang perkara tersebut kepada pemberita, beliau berkata, kerajaan negeri bakal melancarkan beberapa program lain yang secara tidak langsung akan melibatkan sumbangan umum dalam usaha mengekalkan kelestarian alam semula jadi di Perak.

Difahamkan, aktiviti penanaman pokok oleh JPNPk yang bermula pada Januari tahun ini telah melibatkan beberapa daerah antaranya Hulu Perak, Manjung, Larut Matang, Kinta dan Hilir Perak.

Pada majlis yang dihadiri lebih daripada 1,000 orang Masyarakat Orang Asli itu siang tadi, Menteri Besar turut berkesempatan menyerahkan 500 anak pokok untuk Pos Kuala Mu serta sumbangan kelengkapan sekolah kepada kampung-kampung yang berada di sekitarnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");