Sukan Hari Ini

Terpulang Pada Chong Wei, KBS Akur

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan akan akur terhadap sebarang percaturan Datuk Lee Chong Wei berhubung penampilannya di Olimpik Tokyo 2020.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, ketika menyuarakan pendirian itu berkata pihaknya tidak mahu meletakkan sebarang tekanan terhadap jaguh badminton negara berkenaan.

“Saya tak nak letak beban kepadanya. Oleh itu, apa jua keputusan beliau, kita akan akur,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan jaguh perseorangan lelaki negara itu akan pulih dan kembali ke gelanggang, terutama bagi merealisasikan impian beraksi pada Olimpik Tokyo 2020.

Sukan NSTP sebelum ini melaporkan Chong Wei yang juga pemain nombor dua dunia dikatakan mengalami masalah kesihatan serius dan berkemungkinan besar terpaksa menamatkan kerjayanya sebagai pemain badminton bagi menjalani rawatan pemulihan.

Pemain berusia 36 tahun itu mendapatkan nasihat dan menjalani rawatan di Taiwan selepas disahkan menghidap kanser hidung peringkat awal.

Syed Saddiq menyifatkan jaguh badminton negara itu sentiasa mempamerkan semangat yang berkobar, selain sering diangkat sebagai wira menerusi ‘kaca mata’ masyarakat.

“Berbicara mengenai Chong Wei, semangatnya sentiasa berkobar, malah dikenali ramai sebagai wira. Banyak rintangan yang sudah beliau tempuhi.

“Akhirnya beliau tetap berjaya (harungi cabaran berkenaan),” katanya sambil enggan menjawab soalan mengenai kali terakhir bertemu dengan Chong Wei.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");