Berita Hari Ini

Tiada Aduan SOP Khalwat – Timbalan MB Kelantan

KOTA BHARU: Kerajaan negeri tidak pernah menerima sebarang aduan berhubung prosedur operasi standard (SOP) serbuan membabitkan kes khalwat dilakukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata setakat ini pihak berkuasa mengikut SOP yang ditetapkan.

“Setakat ini yang saya tahu jabatan agama melaksanakan tugas dengan ikut peraturan. Apabila ada laporan daripada ketua kampung dari orang ramai, baru operasi dijalankan.

“SOP ini dibuat oleh mereka yang pakar dalam bidang ini tiada campur tangan orang politik.

“Kalau ketuk-ketuk semua bilik dan mengintai bukan cara dibenarkan Islam dan kita tidak guna macam itu,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat EXCO di Kota Darul Naim di sini, hari ini, lapor BH Online.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berhubung isu tiada lagi tangkapan khalwat di premis persendirian.

Mengulas lanjut, Mohd Amar tidak menolak kemungkinan Mujahid tidak mendapat maklumat yang tepat dan terperinci mengenai isu terbabit.

“Mungkin dia hanya dengar komen daripada orang tidak puas hati dengan apa yang berlaku contohnya cerita macam di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“Pada pandangan saya, kalau ada kelemahan atau kekurangan SOP, ia perlu dibaiki dan diperkasakan bukan membuang semuanya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");