Panasnya Hari Ini

Tok Mat Pertahan Ahmad Zahid

SEREMBAN – Penahanan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak seharusnya dispekulasi dan dijadikan modal untuk menabur pelbagai persepsi yang salah dan tidak berasas.

Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata apa yang lebih penting, ahli Umno dan semua pihak mesti bertenang dan mengambil pendekatan rasional dalam berhadapan dengan keadaan ini.

“Susulan beberapa siri siasatan, wujud spekulasi bahawa beliau akan didakwa tidak lama lagi. Sejauh manakah kebenaran dan kesahihan spekulasi tersebut bukanlah sesuatu yang boleh dipastikan pada saat ini.

“Saya dan kepimpinan Umno percaya perkara ini mesti dilihat secara terbuka dan objektif.

“Saya menyeru agar kita tidak terburu-buru dalam segala kenyataan, tindakan dan perlakuan kita. Kita mesti menghormati pelaksanaan proses undang-undang dan menaruh keyakinan bahawa ia akan dilunaskan dengan cara yang selari dan bersesuaian dengan keluhuran undang-undang dan sifat Malaysia sebagai negara hukum,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad berkata susulan daripada perkembangan ini juga, Majlis Kerja Tertinggi Umno akan mengadakan mesyuarat segera untuk membincangkan perkara ini dengan lebih mendalam.

“Ini khususnya bagi memutuskan hala tuju dan tindakan selanjutnya. Apa jua keputusan Majlis Kerja Tertinggi akan menjadi pendirian dan panduan untuk semua anggota parti,” katanya.

Jelasnya lagi, apa yang pasti, beliau dan kepimpinan Umno memberi jaminan bahawa penahanan ini tidak akan melemahkan atau menjadi halangan kepada Umno untuk meneruskan agenda pemulihan yang sedang dilakukan dalam parti.

“Khidmat bakti Umno kepada rakyat Malaysia juga tidak akan berhenti dan terganggu. Saya dan rakan-rakan dalam Umno ingin menzahirkan sokongan dan setia kawan yang mendalam terhadap Datuk Seri ( Ahmad Zahid)  dan keluarganya dalam saat yang mencabar seperti sekarang.

“Insya-ALLAH, saya pasti akan hadir petunjuk dan kebenaran yang selayaknya daripada ALLAH SWT dalam segala hal yang berlaku ini jika kita bersabar dan bijaksana dalam segala tindakan kita,” katanya.

-Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");