Perak Hari Ini

Tugas Guru Semakin Mencabar – MB Perak

IPOH: Tugas warga pendidik pada masa kini semakin mencabar selain sering menghadapi kiritikan dan kekangan ibu bapa dalam usaha mendidik anak murid.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata jika pada zaman dahulu para ibu bapa sendiri yang menyerahkan rotan kepada guru untuk tujuan didikan anak mereka, namun ianya tidak berlaku pada zaman sekarang.

Ujarnya, dalam usaha ke arah mendisiplinkan murid, guru sering berhadapan dengan tindakan ibu bapa apabila segelintir daripada mereka sengaja menularkan tindakan tersebut di laman-laman sosial tanpa usul periksa.

“Saya memahami kekangan ini, tetapi saya ingin mengajak para guru supaya melihat hikmah di sebalik ujian ini.

“Sesungguhnya, cabaran ini menjadikan guru lebih kreatif dalam mencari jalan penyelesaian kerana setiap pelajar adalah unik,” katanya.

Selain itu, tambah Ahmad Faizal, dalam mendepani cabaran bagi melahirkan modal insan yang mampu menghadapi cabaran dalam era globalisasi ini para guru harus berperanan sebagai sumber inspirasi dan contoh terbaik buat murid-murid.

Katanya lagi, pernanan guru masa kini adalah lebih jauh daripada sekadar menyampaikan ilmu berdasarkan silibus Kementerian Pendidikan, yang ia juga bertepatan dengan inisiatif Transformasi Pendidikan Negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Sedunia 2018 di Hotel Excelsior, di sini, malam tadi.

Pada majlis yang dianjurkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) itu, Menteri Besar turut berkesempatan merasmikan pelancaran Tabung Tsunami Sulawesi Tengah, Indonesia oleh persatuan tersebut.

Sebagai gimik pelancaran, beliau memasukan cek sumbangan NUTP bernilai RM10,000, yang diserahkan kepadanya, ke dalam tabung tersebut.

Turut disampaikan juga sumbangan NUTP kepada waris-waris enam anggota bomba yang maut ketika sedang berada dalam operasi mencari seorang remaja yang dipercayai lemas di Puchong.

Cek Sumbangan berjumlah RM6,000 itu diserahkan kepada Menteri Besar dan ia disampaikan kepada wakil Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung.

Pada perkembangan sama, Timbalan Presiden NUTP, Chan Thye Choon yang ditemui pemberita berkata, Tabung Tsunami oleh NUTP akan mula dibuka hari ini sehingga penghujung November di semua cawangan NUTP seluruh negara.

Jelasnya, kesemua sumbangan itu kemudiannya akan diserahkan kepada Persatuan Guru Republik Indonesia (PGRI) untuk diagihkan kepada guru dan murid yang menjadi mangsa gempa di Sulawesi Tengah baru-baru ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");