Panasnya Hari Ini

Umno PD Tak Halang Ahli Mengundi

PORT DICKSON – Umno Bahagian Port Dickson tidak melarang ahlinya daripada memilih dan mengundi mana-mana calon yang bertanding dalam PRK Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober ini.

Ketuanya, Mohd Faizal Ramli berkata, pihaknya menggesa semua ahli Umno dan orang Melayu di Port Dickson supaya keluar mengundi pada Sabtu ini kerana undi mereka adalah penting.

“Umno dan BN Port Dickson tidak menghalang mana-mana pengundi berdaftar keluar mengundi dan boleh memilih calon yang mereka suka, itu adalah hak mereka.

“Saya menggesa dan memohon sokongan kepada semua orang Melayu khususnya ahli-ahli Umno di Parlimen Port Dickson untuk menjalankan tanggungjawab sebagai warga Malaysia untuk bersama-sama keluar mengundi,” katanya, semalam kepada Sinar Harian.

Mohd Faizal berkata, beliau yakin dan percaya orang Melayu khususnya ahli Umno akan membuat pilihan yang tepat demi agama, bangsa dan negara dalam PRK Parlimen Port Dickson kali ini.

PRK Port Dickson kali ini, menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara calon PH diwakili Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan calon Pas ialah Presiden Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat), Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazri Mokhtar.

Selain, lima calon Bebas terdiri daripada bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan; personaliti media, Stevie Chan, Lau Seck Yan dan Kan Chee Yuen

Terdahulu, Umno membuat keputusan memboikot PRK Port Dickson kerana berpendirian kerusi Parlimen itu dikosongkan semata-mata untuk memenuhi cita-cita politik Anwar menjadi Perdana Menteri.

Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus).

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");