PORT DICKSON – Jumlah majoriti undi bagi PRK Port Dickson adalah penting sebagai memenuhi aspirasi rakyat.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia bukan tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya adalah untuk PH.
“Ia sangat penting bagi memastikan kita memperoleh majoriti yang lebih besar.
“Kami mahu mandat yang kuat dari rakyat supaya kita dapat memenuhi aspirasi rakyat di Port Dickson,” katanya ketika ditemui selepas ceramah di Kampung Bagan Pinang, di sini, malam tadi.
Turut hadir adalah Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim.
Mengulas tentang pemindahan kuasa sebagai perdana menteri sekiranya Anwar menang PRkK Port Dickson, Mohamed Azmin menjelaskan fokus yang utama adalah untuk memenangi pilihan raya terlebih dahulu.
Katanya, oleh sebab itu seluruh kepimpinan PH berada dan hadir ke sini bagi membantu berkempen.
“Kita tak mahu ambil mudah. Parlimen Port Dickson kita mahu menang dan terus kekal di tangan PH dan itu yang perlu ditumpukan hari ini,” katanya lapor Sinar Harian.
Tambahnya, PH menyerahkan sepenuhnya kepada pengundi Port Dickson dan berharap peratusan keluar mengundi itu besar.
“Ini bagi meletakkan keyakinan bahawa aspirasi rakyat di Port Dickson mesti dilaksanakan dan saya yakin Anwar mampu memikulnya,” katanya.