Sukan Hari Ini

United Hilang Bintang Jika Mourinho Kekal

MANCHESTER: Manchester United berisiko kehilangan pemain terbaik jika Jose Mourinho terselamat untuk tempoh sepanjang musim ini dan suasana di sekitar kelab itu tampak tidak akan menjadi lebih baik.

Kemenangan 3-2 selepas bangkit daripada ketinggalan kepada Newcastle, Sabtu lalu meningkatkan harapan bahawa Mourinho akan terus mengekalkan tugasnya di Old Trafford selepas hujung minggu yang sukar.

Ada pandangan mengatakan berlakunya keretakan hubungan di United, antara Mourinho dengan sebahagian pemainnya dan ketika ini, tumpuan lebih terarah kepada isu masa depan pengendali itu di kelab berkenaan.

Paul Pogba kekal menjadi kebimbangan utama dengan pemain bersama rekod perpindahan paling besar United itu terdesak untuk menyertai Barcelona seawal Januari ini, walaupun dimaklumkan dia bukanlah untuk dijual.

Pemain Perancis itu bertelagah dengan Mourinho dan ditarik semula peranan sebagai penolong kapten, dan Pogba masih boleh cuba untuk ke Sepanyol sekalipun pengurus itu dipecat.

Luke Shaw pula akan tamat kontrak pada penghujung musim dan difahamkan pertahanan England itu tidak berminat menandatangani perjanjian baharu jika Mourinho masih di situ.

United cuba mengadakan perbincangan, tetapi Shaw masih belum melupakan kritikan pedas pengurus itu sejak dua tahun lalu, walaupun berjaya mendapatkan kembali tempatnya dalam kesebelasan utama musim ini.

Kesanggupan Anthony Martial membincangkan kontrak baharu kebelakangan ini dipercayai berasaskan kepercayaan jurulatih Portugal itu tidak akan berada di United lebih lama.

Martial juga tidak menyukai Mourinho dan didenda kerana hilang tanpa berita daripada jelajah ke Amerika Syarikat pada pra musim.

Kedua-dua pemain dan pengurus terbuka untuk berhijrah musim panas ini, tetapi pengurusan tertinggi kelab tidak mahu memikirkannya.

David de Gea juga berada dalam situasi sama dan kebimbangan meningkat mengenai keengganan pemain itu menandatangani perjanjian baharu. – Agensi

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");