Jenayah

Van Terbalik, 3 Pelajar Parah

KUALA NERUS: Tiga pelajar dilaporkan parah manakala 10 lagi cedera ringan selepas van dinaiki terbabas sebelum terbalik dalam kemalangan di Jalan Bukit Tunggal di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 6.15 pagi itu, pemandu van, Liom Khing Jong, 55, turut patah bahu kiri.

Memetik laporan BH Online, van sekolah terbabit dalam perjalanan dari arah Batu 6 ke Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin Kuala Terengganu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd Razak Hasan, berkata nahas berlaku apabila bahagian belakang van terbabit dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika mengelak sebuah kenderaan.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan van sekolah itu terbabas dan terbalik manakala kenderaan pacuan empat itu terbabas lalu melanggar pokok atas pembahagi jalan.

“Semua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba 11 Mohamed Zulkhairul Mohamed Razilah, berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan mengenai kemalangan itu jam 6.21 pagi.

Katanya, seramai 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu termasuk anggota Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) bagi menyelamatkan mangsa.

“Kita mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan semua mangsa sebelum membawa mereka ke HSNZ Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

“Difahamkan, tiga daripada mangsa dimasukkan ke wad namun mereka berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Sementara itu, pelajar, De Pierre Eng Cjunn, 15, berkata dia terkejut apabila van dinaikinya bergegar selepas dirempuh sebuah kereta dari arah belakang.

“Ketika kejadian, keadaan hujan renyai dan ada antara rakan saya sedang tidur sebelum van dinaiki kami terbabas lalu terbalik.

“Saya bersama beberapa rakan yang lain keluar melalui tingkap yang pecah sebelum kami dibawa ke HSNZ oleh pasukan penyelamat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");