Sukan Hari Ini

Ziyad Idam Emas 2019

BANGI: Kejayaan mempertahankan pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) di Sukan Para Asia Jakarta 2018, membakar semangat dan motivasi Ziyad Zolkefli, untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa depan.

Kini, sasaran utama Ziyad ialah untuk meraih emas pada Kejohanan Olahraga Para Dunia serta Sukan SEA Manila 2019, Sukan Para ASEAN Manila 2019 selain layak secara merit ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Bagaimanapun, ketika ini, Ziyad akan bercuti selama kira-kira tiga minggu bagi menyelesaikan urusan keluarganya yang tertangguh kerana terlalu sibuk dengan persiapan untuk menghadapi Sukan Para Asia Jakarta 2018, sebelum ini.

“Selepas cuti tiga minggu saya akan kembali berlatih untuk memastikan prestasi saya sentiasa berada di tahap terbaik.

“Ini penting kerana sasaran utama saya pada tahun depan ialah menang pingat emas di Kejohanan Olahraga Para Dunia, Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN Manila 2019 serta layak ke Olimpik Tokyo 2020,” katanya, sebagimana dilaporkan Harian Metro.

Minggu lalu, Ziyad membuktikan kehebatannya apabila berjaya mempertahankan pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 pada Sukan Para Asia Jakarta 2018 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Indonesia.

Bekas peniaga kuetiau di Jalan Tunku Abdul Rahman itu melakukan lontaran sejauh 16.94 meter pada percubaan keenam untuk memecahkan rekod temasya 15.31m miliknya yang dicatat ketika temasya di Incheon 2014.

Ziyad muncul juara apabila menewaskan rakan senegara, Alif Awi yang merangkul pingat perak dengan catatan 13.09m, manakala atlet Thailand, Sanepoot Boonkong meraih gangsa (13.01m).

Kejayaan Ziyad itu adalah pingat emas ke-14 buat kontinjen negara yang berjaya meraih 17 pingat emas keseluruhan dan melepasi sasaran awal 15 pingat emas.

Untuk rekod, bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik Tanah Merah, Kelantan itu juga pemegang rekod dunia lontar peluru lelaki F20\, selepas dia melakukan lontaran sejauh 17.29m pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London tahun lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");