Panasnya Hari Ini

2 ADUN Bebas Sertai BERSATU

JOHOR BAHRU: Dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas yang sebelum ini dari UMNO, ADUN Sedili, Rasman Ithnain dan ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari, menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Menteri Besar yang juga Pengerusi BERSATU Johor, Datuk Osman Sapian, berkata Rasman dan Rosleli, secara sah diterima sebagai ahli BERSATU mulai 19 November lalu.

“Kedua-dua ADUN Bebas itu sudah diterima sebagai ahli BERSATU secara sah.

“Ini bermakna tiada lagi ADUN Bebas di Johor. Sebelum ini ADUN Endau ( Alwiyah Talib) juga sah menyertai BERSATU sejak dua bulan lalu,” katanya pada taklimat bersama ketua biro media Johor sempena pembentangan Belanjawan Johor 2018, di sini hari ini.

Osman berkata, pengesahan kemasukan tiga ADUN itu mengambil masa lama kerana perlu melalui prosedur dan tapisan bagi memastikan mereka benar-benar boleh menjadi ahli BERSATU.

“Nama mereka perlu dibawa kepada MKT (Majlis Kepemimpinan Tertinggi) dan kita serah borang keahlian baharu. Kita ikut kriteria. Kita nampak (ADUN Bebas) sokong kita dan kita tidak paksa, dia dengan niat ikhlas dan sukarela dia mahu masuk, jadi kita terima,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan ada lagi ADUN pembangkang akan menyertai PH, Osman enggan mengulas lanjut.

Sebelum ini pada 12 Mei lalu, tiga ADUN terbabit mengumumkan keluar Barisan Nasional (BN) untuk menyertai BERSATU tetapi penyertaan mereka belum disahkan kerana perlu melalui proses penerimaan ahli baharu.

Johor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Pakatan Harapan (PH) memenangi 36 kerusi dengan DAP memenangi 14 kerusi, Parti Amanah Negara (AMANAH) (sembilan), BERSATU (lapan) dan PKR (lima).

Kemasukan tiga ADUN ke BERSATU menjadikan PH kini mempunyai 39 kerusi DUN, manakala BN dengan 16 kerusi dan PAS satu kerusi.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");