Berita Hari Ini

3 Pemimpin Gagasan 3 Dipanggil Polis Selepas Ancaman ’13 Mei’

PETALING JAYA: Polis mungkin menahan 2 individu dalam sebuah kumpulan sayap kanan Melayu yang ditubuhkan baru-baru ini berhubung ucapan mengancam rusuhan ala 13 Mei 1969 terhadap penyokong DAP.

Penasihat Gagasan 3 (G3), Datuk Azwanddin Hamzah bersama Pengerusinya, Raggie Jessy Rithaudeen serta Timbalannya, Amran Ahmad Nor mengesahkan mereka dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang esok untuk disoal siasat.

Seorang jurucakap IPD Ampang memberitahu FMT, Azwanddin disiasat berhubung ucapannya “yang boleh mencetuskan ketegangan kaum di Malaysia”.

Azwanddin yang juga presiden Jaringan Melayu Malaysia berkata, polis menghubunginya sejak minggu lalu.

“Tetapi, saya beritahu mereka ada perkara yang perlu saya selesaikan. Saya diminta ke sana 9 pagi esok,” katanya kepada FMT sambil menambah beliau diminta menyerah diri, “tetapi tidak tahu ia berkaitan apa”.

Sementara itu, Raggie menggesa penyokong berkumpul di luar IPD Ampang esok dan berkata, Azwanddin ialah “pemimpin Islam Melayu yang sedia berkorban untuk memperjuangkan institusi Islam di negara ini”.

Amran ketika dihubungi berkata, beliau dipanggil ke IPD Ampang 2 petang esok, dipercayai berhubung ucapan dalam video viral sama yang dimuat naik ke Facebook.

G3 ditubuhkan 21 November lalu untuk menyatukan orang Islam Melayu dan menyalahkan pemimpin DAP yang didakwa menghakis hak Melayu di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Ini ekoran perbincangan hangat berhubung ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Walaupun mendapat bantahan kumpulan Melayu, Umno dan PAS, Putrajaya semalam mengumumkan ia tidak akan menandatangani ICERD, walaupun kenyataan terdahulu menyokong triti global anti-diskriminasi itu.

Semalam, polis dilaporkan berkata, mereka akan bertindak ke atas ratusan laporan polis yang dibuat beberapa hari ini berkaitan kontroversi ICERD. Difahamkan, ia juga dikaitkan dengan klip video viral di mana Azwanddin berkata, beliau tidak kisah pertumpahan darah dalam rusuhan kaum 1969 berulang untuk memberi pengajaran kepada DAP.

“Saya rindu 13 Mei. Andai kata perlu kita asah parang, kita asah parang. Andai kata kita perlu asah keris, kita asah keris.

“Ini rakaman atau tidak ni? Kalau rakam, bagi dekat DAP.

“Amaran keras saya, kalau kamu kurang ajar, kita Melayu akan lebih kurang ajar,” katanya dalam ucapan mengumumkan penubuhan Gagasan 3.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");