Berita Hari Ini

5 Melecur Dalam Kebakaran Rumah Panjang

JULAU: Lima penduduk melecur ketika meredah api untuk menyelamatkan diri dalam kebakaran sebuah rumah panjang di Nanga Melayong, Sungai Merurun, di sini petang semalam.

Ketua Balai Bomba Bintangor, Nicholas Belulin, berkata mangsa yang cedera dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu termasuk seorang warga emas berusia 80 tahun.

Katanya, kesemua mangsa mengalami lecur pada tangan dan badan selepas cuba menyelamatkan diri dari terperangkap dalam rumah panjang berkenaan sejurus menyedari kebakaran berlaku.

“Tindakan pantas kesemua mangsa berjaya mengelak mereka dari terperangkap dalam rumah panjang itu kerana api marak terlalu pantas dan meranapkan hampir keseluruhan struktur rumah.

“Mereka kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Julau untuk menerima rawatan dan keadaan kesemua mangsa dilaporkan stabil,” katanya ketika dihubungi pagi ini.

Beliau berkata, kejadian menyebabkan rumah panjang 15 pintu itu musnah, manakala kesemua 89 orang penghuninya tinggal sehelai sepinggang.

“Anggota bomba bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Bintangor itu selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 5.07 petang.

“Kejadian mengakibatkan rumah jenis separuh kekal ini sudah musnah sepenuhnya,” katanya.

Difahamkan, kejadian itu adalah yang ketiga membabitkan kebakaran rumah panjang di Sarawak sepanjang bulan ini.

“Anggota bomba masih memantau keadaan di lokasi kejadian bagi mengelak insiden sama berulang, selain mengenalpasti punca sebenar kebakaran,” katanya kepada NSTP.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");