Perak Hari Ini

Atlet Para Wajar Diangkat Sebagai Hero Luar Biasa – MB Perak

IPOH: Kesungguhan dan semangat barisan atlet yang beraksi dalam temasya sukan Para Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 wajar diambil iktibar oleh masyarakat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahamd Faizal Azumu berkata, kesemua atlet para tersebut juga wajar diangkat oleh masyarakat sebagai hero yang luar biasa.

Katanya lagi, sikap enggan mudah mengalah dalam sebarang acara sukan yang disertai mereka juga harus dicontohi semua pihak dalam kehidupan seharian.

“Kita mesti akui, mereka telah membuktikan kepada masyarakat bahawa kekurangan fizikal bukanlah penghalang untuk berjaya.

“Semoga ia akan menjadi pencetus semangat kepada kita semua untuk tidak mengalah dengan cabaran dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Para SUKMA Perak 2018 di Stadium Indera Mulia, di sini, malam tadi.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi; Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Steven Sim Chee Keong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman serta Exco Sukan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Pada masa sama, ujar Ahmad Faizal, kejayaan dalam menganjurkan temasya Para SUKMA Perak 2018 membuktikan bahawa kerajaan negeri komited dan akan terus berusaha dalam menambahbaik segala fasiliti sukan untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Tambahnya, kerajaan negeri juga akan memastikan golongan istimewa tersebut tidak terpinggir daripada arus pembangunan negara.

Dalam pada itu, Menteri Besar turut mengucapkan tahniah kepada barisan kontinjen Perak yang telah berjaya menduduki tangga ketiga selain melepasi sasaran kutipan 25 pingat emas dengan merangkul 29 pingat.

Selain pingat emas, kontinjen Perak turut berjaya merangkul 32 pingat perak dan 22 pingat gangsa.

Pada majlis yang sama, kontinjen tuan rumah yang berjaya menduduki tangga ketiga telah dianugerahkan dengan Piala Gerakan Pembanguan Sukan Para.

Kontinjen Sarawak pula dinobatkan sebagai juara keseluruhan setelah berjaya menggondol 61 pingat emas, 62 pingat perak dan 40 pingat gangsa dalam temasya sukan dwitahunan tersebut.

Selain itu, Atlet Catur Negeri Sembilan, Nur Feiqha Maulad Mohd Halil berjaya dinobatkan sebagai atlet wanita terbaik dan gelaran atlet lelaki terbaik pula diberikan kepada Atlet Olahraga Sabah, Jaklon Ganding.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");